Ketua perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menang tanpa bertanding sebagai ketua bahagian Arau dalam pemilihan cawangan yang tidak menyaksikan sebarang tentangan.

Daripada 123 cawangan, 107 telah mencalonkan bekas menteri besar itu, meninggalkan pencabar terdekatnya Datuk Seri Syed Razlan Jamalullail dengan hanya enam pencalonan.

shahidan kassim Syed Razlan, yang juga wakil rakyat DUN Pauh, dicalonkan bersama Ameir Hassan, setiausaha politik menteri besar, dan Datuk Ismail Kassim - masing-masing mendapat satu pencalonan.

Seseorang harus mendapat 25 pencalonan untuk melayakkannya bertanding ketua bahagian.

Kini tinggal lagi lapan cawangan yang belum bermesyuarat, antaranya akibat penangguhan mesyuarat bagi menghadapi pilihanraya kecil Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Cawangan terbabit ialah empat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Guar Sanji (2), masing-masing satu di Tambun Tulang dan Sanglang.

Setiausaha Umno bahagian tersebut, Seruandi Saad, ketika dihubungi berkata, beliau kini berada di Permatang Pauh dan tidak mempunyai butir lengkap mengenai pencalonan di bahagian tersebut.

Menang tanpa bertanding

Umno Pusat telah menetapkan calon yang bertanding jawatan ketua bahagian memerlukan 20 peratus pencalonan, timbalan dan naib ketua (15%) dan ahli jawatankuasa (2 pencalonan)

Sementara itu, Agendadaily melaporkan setakat ini, empat pemimpin Umno bahagian di Perak disahkan menang tanpa bertanding.

Mereka ialah dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Husni Hanadzlah dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali.

Manakala di Kelantan pula, Menteri Pertanian, Datuk Mustapa Mohamad telah disahkan kemenangannya apabila semua cawangan dalam Bahagian Jeli mencalonkannya.

Di Selangor pula, bekas exco kerajaan negeri yang juga Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil juga menang tanpa bertanding sebagai ketua Umno bahagian Kapar.

Abdul Rahman menang tanpa bertanding di DUN Sementa dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.