Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penyandang Ketua Bahagian Umno Padang Besar akan ditentang oleh ahli parlimen bahagian itu dalam pemilihan jawatan itu Oktober ini.

Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno negeri, akan berdepan dengan Datuk Seri Azmi Khalid.

Zahidi mendapat 67 pencalonan manakala Azmi pula mendapat 51 pencalonan setakat ini.

Menurut setiausaha kerja bahagian, Che Din Che Ishak, hanya dua daripada 120 cawangan yang belum bermesyuarat.

Kedua-dua calon, katanya, layak bertanding jawatan tersebut, setelah mendapat pencalonan minimum dari 24 cawangan.

Jun lalu, Zahidi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno Malaysia.

Beliau dilaporkan yakin akan mendapat sokongan perwakilan Pemuda dari seluruh negara.

Layak bertanding

Jawatan timbalan ketua pula akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya, Khairi Hassan dengan ketua pemuda bahagian, Mohd Noor Abdul Aziz.

Khairi yang juga Adun Mata Ayer mendapat 48 pencalonan manakala Mohd Noor mendapat 68 pencalonan.

Bagi jawatan timbalan ketua ini, calon-calon harus mendapat sekurang-kurangnya 18 pencalonan untuk layak bertanding.

Menurut Che Din, dua lagi calon - naib ketua, Azizan Sulaiman dan ahli umno biasa, Datuk Wan Nordin Che Morad - tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, Azizan dan Wan Nordin mendapat cukup pencalonan untuk bertanding jawatan naib ketua.

Azizan mendapat 47 pencalonan setakat ini, manakala Wan Nordin, memperolehi 71 pencalonan.

Menurut Che Din lagi, kedua-dua calon itu layak untuk bertanding kerana telah melepasi had kelayakan 18 pencalonan.

Katanya, perjalanan mesyuarat cawangan berjalan dengan lancar dan dijangka selesai sebelum 14 September ini.

ADS