Bahagian Larut pohon lanjutan masa mesyuarat
Umno Bahagian Larut di Perak, telah memohon kebenaran ibu pejabat Umno untuk melanjutkan tempoh mesyuarat cawangannya selama seminggu.
Setiausaha bahagian, Muhamad Ibrahim berkata pihaknya telahpun menghantar surat mengenainya kepada ibu pejabat Umno minggu lalu.
Ketika dihubungi Malaysiakini , beliau berkata, sehingga ini pihaknya belum lagi mendapat sebarang jawapan.
Menurut Muhamad, sehingga ini, 51 daripada 97 cawangan dalam bahagian tersebut telah selesai mengadakan mesyuarat.
Sebanyak 19 cawangan lagi dijadual mengadakan mesyuarat mereka semalam dan hari ini.
"Kami memohon lanjutan masa seminggu mulai hari raya ketiga untuk membolehkan 27 cawangan lagi mengadakan mesyuarat masing-masing," katanya.
Mengikut asalnya, semua cawangan Umno di seluruh negara ditetapkan bermesyuarat mulai 17 Julai hingga 24 Ogos.
Tangguh mesyuarat
Bagaimanapun, bulan lalu, ibu pejabat Umno telah mengarahkan mesyuarat cawangan ditangguhkan bagi membolehkan tumpuan diberikan kepada pilihanraya Parlimen Permatang Pauh.
Berikutan itu, ibu pejabat Umno menetapkan cawangan menyambung semula mesyuarat mereka sehingga hari ini (14 September).
Muhamad menjelaskan bahawa pihaknya memohon masa lanjutan itu ekoran ahli-ahli Umno bahagian sekarang menjalani ibadat puasa.
Beliau bagaimanapun menafikan ada sebab-sebab lain bahagian berkenaan tidak dapat menyelesaikan mesyuarat cawangan dalam tempoh yang ditetapkan oleh ibu pejabat Umno.
"Kami masih menunggu keputusan daripada ibu pejabat Umno berhubung pemohonan tersebut," katanya.
Ibu pejabat Umno menetapkan mesyuarat bahagian diadakan mulai 9 Oktober sehingga 9 November - manakala perhimpunan agung berlangsung pada 16 hingga 21 Disember depan.

