Malaysiakini BERITA

Calon PAS diisytihar menang di Sanglang

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.

Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

Ekoran perintah mahkamah itu, PAS kini mempunyai dua kerusi di DUN Perlis dan BN 13.

Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi pada pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim.

hashim jasin pas sanglang perlis state seat court 180608 Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.

Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang.

Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin.

sementara itu, Bernama melaporkan, dalam prosiding hari ini, peguam Mohamed Hannipa Maidin yang mewakili Hashim berhujah bahawa Hakim Pilihanraya jelas terkhilaf setelah memutuskan bahawa terdapat keperluan untuk mengadakan pilihanraya kecil dalam kawasan pilihanraya Sanglang.

Mohamed Hanipa juga berkata terdapat kesilapan yang dilakukan oleh responden pertama dan kedua, oleh itu menjejaskan hak Hashim untuk memenangi secara sah pilihanraya itu.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said yang mewakili responden pertama dan kedua pula berhujah keputusan Hakim Pilihanraya sepatutnya disemak semula dan Mahkamah Persekutuan seharusnya mengisytiharkan Hashim yang memperoleh undi yang lebih banyak, dipilih sebagai wakil rakyat bagi kawasan pilihanraya itu.

Kamaludin juga berkata di bawah undang-undang SPR, Hakim Pilihanraya boleh terus mengeluarkan sijil bagi mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang tanpa perlu memerintahkan supaya pilihanraya kecil diadakan.

Beliau berhujah kerani SPR di pusat pengundian melakukan kesilapan apabila dia meletakkan 238 jumlah undi yang sebenarnya dimenangi oleh Hashim (PAS) ke dalam ruang penjadualan Abdullah (BN).

"Oleh itu, responden ketiga (Abdullah daripada BN) memperoleh 3,384 undi dan Hashim mendapat 3,235 undi. Hakikatnya adalah Abdullah hanya mendapat 3,286 undi dan Hashim sepatutnya diisytihar sebagai pemenang dengan majoriti 47 undi," kata Kamaludin.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.

Sementara itu, Abdullah, 46, ketika dihubungi Bernama , menyifatkan apa yang berlaku sebagai suratan takdir.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Arau itu berharap apa yang berlaku akan memberi kekuatan baru kepada Umno agar kerusi Sanglang dimenangi semula oleh Barisan Nasional pada pilihanraya umum ke-13 kelak.