Peralihan kuasa perdana menteri kepada timbalannya wajar ditentukan di peringkat bahagian hanyalah mewakili suara ahli-ahli Umno di bahagian beliau sendiri, jelas Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Ketua bahagian Padang Besar, yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, turut menafikan kenyataannya semalam mencerminkan badan tersebut.
"Inilah pandangan ahli-ahli Umno Padang Besar," kata Zahidi.
Zahidi dilaporkan berkata peralihan kuasa itu tidak semestinya terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi seperti diumumkan beberapa bulan lepas.
Mengikut pelan peralihan kuasa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menyerahkan jawatan perdana menteri, pengerusi Barisan Nasional dan presiden Umno kepada Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan 2010.
Bagaimanapun baru-baru ini Najib, yang juga timbalan presiden Umno, berkata peralihan kuasa itu harus ditentukan melalui mesyuarat bahagian Umno yang akan berlangsung awal bulan depan.
Manakala naib presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan tempoh peralihan kuasa selama dua tahun itu "terlalu lama".
Dihubungi Malaysiakini hari ini, Zahidi bagaimanapun menafikan kenyataan beliau itu bersifat peribadi.
Pengerusi badan perhubungan Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menafikan badan itu tidak pernah membuat sebarang keputusan berhubung pelan peralihan kuasa.
"Badan perhubungan Umno Perlis tidak pernah membuat apa-apa pendirian setakat ini," kata Shahidan seperti dilaporkan.
Beliau yang juga bekas menteri besar Perlis, melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan timbalannya dan akan mendapatkan penjelasan daripada Zahidi minggu hadapan, lapor Bernama .
