Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Datuk Zainal Abidin Zin tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti bulan depan.

Ekoran itu, dua calon telah mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding merebut jawatan tersebut.

Mereka ialah timbalan ketua bahagian, Datuk Zaili Cha dan ketua Pemuda, Mohamad Noor Dawoo.

Zaili mendapat 61 pencalonan manakala Mohamad Noor pula memperolehi 31 pencalonannya - kedua-duanya melepasi kelayakan minimum 22 pencalonan.

Kesemua 109 cawangan dalam bahagian Bagan Serai telah selesai bermesyuarat.

Mohamad Noor tidak mempertahankan jawatannya kerana telah melepasi had umur pemuda.

Menurut sumber, enam orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ketua bahagian tetapi empat daripada mereka tidak mendapat pencalonan yang mencukupi.

Enam dicalonkan

Katanya, Zainal Abidin tidak mempertahankan jawatannya untuk memberi laluan kepada muka baru.

Pertandingan bagi jawatan timbalan ketua pula akan menyaksikan pertembungan dua penjuru antara naib ketuanya, Sham Mat Shat dan ketua cawangan Matang Pasir, Zaki Din.

Sham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Pongsu mendapat 75 pencalonan manakala Zaki mendapat 29 pencalonan.

Jawatan naib ketua juga akan menyaksikan pertandingan sengit lima penjuru antara tiga ahli jawatakuasa bahagian, seorang ahli jawatankuasa Pemuda dan seorang ketua cawangan.

Ahli jawatankuasa bahagian, Moin Mustaffa mendapat pencalonan tertinggi - 31 pencalonan - berbanding dengan pencabar yang lain.

Manakala Mohd Aizi Abdul Majid - ahli jawatakuasa bahagian - mendapat 29 pencalonan - kurang dua pencalonan daripada Moin.

Tiga lain calon ialah Ahmad Puat Mat Dali - ahli jawatankkuasa Pemuda bahagian - Zulcapli Baharom - ketua cawangan Parti Haji Aman - dan seorang lagi ahli jawatankuasa bahagian, Abdul Latiff Datuk Masud.

Ketua Wanita, Puteri kekal

Puat dan Zulcapli masing-masing mendapat 14 pencalonan manakala Abdul Latiff memperolehi 11 pencalonan.

Menurut sumber, kelima-lima calon layak bertanding kerana melepasi kelayakan minimum 11 pencalonan.

Begitu juga dengan jawatan ketua pemuda yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketuanya, Sharuddin Ahmad dan dua ahli biasa Umno - Hassan Ismail dan Mohd Nizam Ramlan.

Sumber itu berkata, Sharuddin mendapat 44 pencalonan, Hassan 26 pencalonan dan Mohd Nizam 18 pencalonan.

Ketiga-tiga calon yang bertanding layak bertanding jawatan tersebut.

Bagaimanapun tiada pertandingan bagi jawatan ketua Wanita dan ketua Puteri.

Ketua Wanita Bahagian Bagan Serai Asmah Ramli dan ketua Puterinya, Nursyuhada Baharom masing-masing mengekalkan jawatan tanpa bertanding.

Menurut sumber lagi, sayap-sayap bahagian akan mengadakan mesyuarat mereka pada 11 Oktober depan manakala mesyuarat bahagian akan diadakan sehari selepas itu.