Ketua Umno bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mengesahkan menarik dari daripada bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Katanya, ini kerana perkembangan semasa dalam Umno telah menyebelahi Datuk Mukhriz Mahathir yang sehingga ini mendahului pencalonan untuk jawatan tersebut.

zahidi zainul abidin Sehingga minggu lalu, Mukhriz yang juga ahli Parlimen Jerlun, telah memperolehi 62 pencalonan dari bahagian-bahagian yang telah selesai bermesyuarat.

Manakala pencabarnya yang lain ialah ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendapat 37 pencalonan manakala bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat 28 pencalonan.

Mukhriz telah melepasi kelayakan minima 39 pencalonan untuk layak bertanding, manakala Khairy memerlukan dua lagi pencalonan untuk layak.

Dr Mohd Khir pula memerlukan sebelas lagi pencalonan layak. Manakala Zahidi sehingga ini mendapat satu pencalonan daripada bahagiannya sendiri.

Faktor kewangan

Ketika dihubungi Malaysiakini , Zahidi menjelaskan antara sebab beliau menarik diri daripada bertanding adalah kerana faktor kewangan.

Sehubungan itu juga, katanya, tekanan yang diberikan oleh mantan perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah membuat presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memutuskan tidak mempertahankan jawatannya.

Ekoran itu, tambahnya, Mukhriz mendapat banyak pencalonan.

Sabtu lalu, Zahidi mempertahankan jawatan ketua bahagian Padang Besar, dengan menewaskan Datuk Azmi Khalid.

Zahidi menewaskan Azmi, yang juga ahli Padang Besar itu dengan majoriti 19 undi.