Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:48pm Pemuda Pakatan Rakyat bertegas ingin isteri timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak disingkirkan daripada jawatan canselor Universiti Industri Selangor (Unisel).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan tidak bercadang menggugurkan Rosmah Mansor seperti desakan Pemuda Pakatan Rakyat semalam.

rosmah mansor and unisel Kerajaan negeri ingin mengekalkan keputusan lembaga pengarah Unisel - dimiliki sepenuhnya oleh Selangor - yang melantik isteri Najib pada Ogos 2006.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha DAP negeri Lau Weng San berkata pemimpin Pemuda ketiga-tiga parti itu akan membangkitkan isu kedudukan Rosmah dalam pertemuan dengan barisan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat malam ini.

Pertemuan peringkat negeri Selangor itu yang diadakan di kediaman rasmi Abdul Khalid akan disertai oleh ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Khairul Anuar Ahmad Zainuddin dan ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi.

Dalam surat bantahan yang diserahkan kepada menteri besar semalam, mereka mendakwa Rosmah Mansor "tidak memiliki keunggulan keilmuan yang sewajibnya ada pada gedung ilmu."

Lau, Khairul Anuar dan Sallehen yang menegaskan pendirian mereka untuk menggugurkan Rosmah dijangka turut membangkitkan kedudukan ahli-ahli lembaga pengarah Unisel dalam pertemuan di Shah Alam, dijadual bermula 8.30 malam ini.

Kekosongan naib canselor Unisel belum lagi berganti selepas perkhidmatan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus ditamatkan oleh Abdul Khalid, sebagai pengerusi syarikat yang mengurus universiti itu, mulai akhir Jun lepas.

Penamatan kontraknya berkuatkuasa 31 Julai lepas.

Lau, yang juga wakil rakyat Kg Tunku, menyifatkan tindakan Abdul Khalid mahu merujuk ahli lembaga pengarah Unisel terlebih dahulu berhubung kedudukan Rosmah "satu tindakan yang adil dan mengikut prosedur".

"Tetapi kami berharap beliau (Tan Sri) mempertimbangkan pendirian yang kami buat. Tidak ada sebab Rosmah dilanjutkan sebagai canselor," katanya lagi.

Dihubungi hari ini, Sallehen berkata perkara lain yang dijangka turut dibincangkan termasuklah isu pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang baru.

Pemangku jawatan tersebut Low Siew Moi, timbalan pengurus korporat dan akaun PKNS, mencetuskan bantahan kerana beliau bukan pemimpin Melayu.

ADS