Calon ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berjanji akan membawa perubahan dalam pergerakan tersebut jika dipilih menerajuinya Mac depan.

Wanita Umno, tegas beliau, harus menjadi suara penyatuan wanita di Malaysia.

shahrizat abdul jalil "Wanita harus berjuang untuk mengupayakan wanita, tidak boleh ketinggalan, hebat untuk menuntut hak wanita, terutama dalam isu ekonomi dan perlu juga ada fokus dan pelan tindakan," katanya.

Shahrizat telah mengumumkan bertanding merebut jawatan ketua Wanita dan menolak pelan peralihan kuasa pada Jun 2009 yang dicadangkan oleh penyandangnya, Tan Rafidah Aziz.

Selepas selesai mesyuarat bahagian awal bulan lalu, Shahrizat dicalonkan oleh 73 bahagian Wanita untuk layak bertanding jawatan ketua pergerakan itu. Rafidah pula mendapat 118 pencalonan untuk mempertahankan jawatannya.

Shahrizat berkata, Wanita Umno juga perlu membawa wanita bersama-sama untuk memperjuangkan isu-isu wanita dan keluarga.

Beliau yang juga penasihat khas pembangunan wanita dan sosial kepada perdana menteri menegaskan demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan simposium kebangsaan pembentukan keluarga adil, stabil dan bahagia di ibunegara hari ini.

Patuh etika pertandingan

Wanita Umno juga, katanya, perlu menjadi juara untuk memimpin rakyat, kalau tidak mereka akan pergi ke tempat lain.

"Wanita Umno juga harus kembalikan semangat wanita, yang semakin terancam," katanya sambil menambah bahawa hubungannya Rafidah adalah baik.

Yang penting, katanya, pertandingan bagi merebut jawatan tersebut perlu dijalankan secara terhormat dan bermaruah.

"Kita ada etika, ikut etika tersebut, jangan jejaskan tali silaturrahim," katanya sambil menambah pertandingan hendaklah dijalankan secara jujur dan terhormat.

Ditanya mengenai sokongan di peringkat akar umbi, Shahrizat berkata terpulanglah kepada mereka untuk membuat pilihan.

Menurutnya, mereka boleh menyokong calon-calon yang bertanding dan menegaskan bahawa tidak harus ada unsur-unsur paksaan untuk membuat pilihan.

"Saya terima siapa sahaja pilihan mereka. Yang penting sekali, tumpuannya adalah untuk membawa pembaharuan dalam Wanita Umno," katanya.