Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

kemaskini 7:54pm S Manikavasagam hanya meletakkan jawatan timbalan ketua perhubungan PKR Selangor tetapi mengekalkan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan ahli parlimen Kapar.

Beliau mengugut meninggalkan parti selepas berdepan masalah dengan kepimpinan kerajaan Selangor yang diketuai oleh ketua perhubungan PKR negeri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini, Manikavasagam berkata beliau telah menghantar surat peletakkan jawatan itu pagi tadi yang berkuatkuasa serta-merta.

Katanya, beliau bersedia menerima apa-apa bentuk tindakan disiplin daripada PKR yang bermesyuarat malam ini.

"Apa-apa tindakan kepada saya, saya rela. Disingkir daripada parti, (saya) tidak ada masalah kerana saya membela nasib orang yang miskin," katanya, yang sering dipanggil Mike.

Jumaat lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, beliau akan keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Abdul Khalid, termasuk cara menteri besar itu mentadbir Selangor.

Abdul Khalid pula dilaporkan berkata Manikavasagam bebas untuk berbuat demikian. Beliau juga tidak berminat untuk berjumpa Mike atau merayunya menimbang semula keputusan tersebut.

Menteri besar itu kemudiannya menafikan pernah berkata demikian.

Beliau bagaimanapun menafikan mempunyai perselisihan peribadi Abdul Khalid.

"Tidak ada perselisihan faham dengan Tan Sri Khalid kerana saya bawa isu masyarakat. Boleh jumpa (beliau) bila-bila masa," katanya.

Manikavasagam menambah, nasibnya dalam PKR akan ditentukan selepas beliau berbincang dengan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa minggu lagi.

"Keluar parti? Tunggulah. Kena bincang dengan Anwar. Kena bincang dengan beliau dulu," katanya.

Beliau akan terus mengekalkan jawatan ahli parlimen walaupun disingkirkan daripada PKR, tambahnya.

Anwar dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekarang berada di luar negara dan dijangka pulang 6 Januari ini, sementara Manikavasagam pula akan ke India antara 5 hingga 15 Januari.

Perjumpaan dengan Anwar itu antaranya untuk berbincang "beberapa perkara penting di Selangor" dan juga negeri-negeri yang dikuasai negeri Pakatan Rakyat.

Isu-isu yang beliau tidak berpuas hati termasuklah pelantikan ketua kampung Melayu di sebuah taman yang majoritinya penduduknya berketurunan India dan kemerosotan jualan akibat pemindahan stesen bas lama Klang ke terminal baru di Jalan Meru.

Di sidang media yang sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan-kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menggesa beliau keluar parti.

"Semua itu menyakitkan hati. Sedangkan mereka tidak tahu pendirian saya," kata Mike lagi.

Mengulas dakwaan beliau bakal menyertai MIC, Manikavasagam menjelaskan beberapa pemimpinnya pernah mengajak beliau untuk menyertai parti tersebut.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai sebarang parti termasuk Barisan Progresif India (IPF), Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP).

Mike mendakwa kira-kira 300 hingga 400 penyokongnya terutama di Johor menunggu isyarat lanjut daripadanya.

Tambahnya, beliau juga mendakwakan mendapat sokongan di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.