Wanita Umno di peringkat akar umbi tidak boleh lagi berdiam diri, segan dan berasa selesa dengan situasi yang dalam parti itu sekarang, kata ketua Wanita Umno bahagian Pasir Salak, Perak, Ainon Khairiyah Datuk Mohd Abas.

"Masih ada lagi wanita di peringkat akar umbi, yang penglibatan mereka dalam politik masih tak sampai tahap sepatutnya.

"Masih ada segelintir daripada mereka yang bersikap segan-segan, tak mahu bersuara dan hanya selesa untuk menghadiri mesyuarat sahaja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Menurutnya, Wanita akar umbi harus berubah gaya pemikiran mereka melalui penjenamaan semula hingga ke tahap boleh menerajui Wanita di peringkat bahagian.

"Mereka tidak banyak memberi idea untuk memperkuatkan Umno," tambah Ainon.

Sehubungan itu, katanya, Wanita bahagiannya sedang menjalankan gerakan memantap penglibatan akar umbi melalui program penjenamaan semula untuk mematangkan pergerakan tersebut.

Ditanya sama ada Wanita harus diberi satu tempat khas di peringkat tertinggi dalam parti, beliau berkata, ia tidak perlu kerana ketua Wanita Umno pusat kini berstatus naib presiden.

Politik wang

"Wanita pusat sudah cukup terkemuka. Apa jawatan sekalipun, yang penting adalah (Wanita) akar umbi, kerana mereka yang akan mengundi," kata Ainon.

Bagaimanapun Ainon menggesa kerajaan agar memberi lebih banyak peluang kepada Wanita melibatkan diri dalam proses pembuat dasar kerajaan.

Langkah itu, katanya, akan memberi peluang kepada Wanita untuk memberi input penting dalam penggubalan dasar negara.

Pemimpin Wanita, katanya, sudah bersedia untuk menerangkan dasar kerajaan dan dasar perjuangan Umno.

Mengulas mengenai masalah politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan Umno, beliau berkata: "Saya tak nampak politik wang. Saya tak tahu siapa yang beri, siapa yang tak beri.

"Sepanjang pengalaman saya, saya tak tahu, sebab saya menang tak bertanding di peringkat bahagian.

"Saya ambil pendekatan neutral, orang tak kacau saya, saya tak kacau orang," jelas Ainon.

Sebaliknya, beliau menegaskan politik wang tidak sepatutnya berlaku sewaktu pemilihan pucuk pimpinan Umno.