Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masalah teknikal yang dihadapi oleh kumpulan pro-Aspirasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyebabkan mereka kehilangan dua kerusi di kubu kuatnya di Fakulti Kejuruteraan, menjelang pilihanraya kampus Khamis depan.

Masalah teknikal turut menghalang hasrat seorang calon mereka untuk bertanding merebut salah satu daripada dua kerusi yang dipertandingkan di Fakulti Pengajian Islam.

Selepas penamaan calon Khamis lalu, kumpulan pro-Mahasiswa menang tanpa bertanding di empat kerusi - tiga kerana tiada calon lawan, manakala satu lagi kertas calon pro-Aspirasi ditolak kerana atas sebab teknikal.

Ketika dihubungi Malaysiakini, calon Umum pro-Aspirasi, Sarfarizmal Md Saad menafikan bahawa pihaknya tidak mempunyai calon yang layak untuk mewakil kumpulan itu di fakulti tersebut.

Sebaliknya, Sarfarizmal mengakui "timbul masalah di saat-saat akhir" tetapi beliau enggan mengulas lanjut mengenai kegagalan pihaknya meletakkan calon di tiga daripada empat terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kesilapan mengisi borang pencalonan di satu kerusi di Fakulti Pengajian Islam, menyebabkan ia ditolak.

Dua kerusi yang dimenangi kumpulan pro-Mahasiswa di Fakulti Kejuruteraan itu, sebelum ini merupakan kubu kuat kumpulan pro-Aspirasi. Manakala dua lagi kerusi di Fakulti Pengajian Islam memang kerusi tradisi yang diwakili kumpulan pro-Mahasiwa sesi lalu.

Pilihanraya kampus di UKM Khamis depan akan mempertanding 23 kerusi fakulti dan 11 kerusi umum.

Persaingan sengit

Kerusi umum diibaratkan sebagai kerusi Parlimen manakala kerusi fakulti diumpamakan sebagai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sarfarizmal, yang juga pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata, dalam sesi lalu, pro-Aspirasi memenangi kesemua 11 kerusi Umum yang dipertandingkan serta 19 daripada 23 kerusi fakulti.

Manakala, Pro-Mahasiswa memenangi empat kerusi fakulti - masing-masing dua kerusi di Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Pendidikan yang merupakan kubu kuat kumpulan tersebut.

Mengenai harapan pro-Aspirasi untuk merampas kerusi di Fakulti Pendidikan kali ini, beliau berkata: "Persaingannya sangat sengit. Insya-Allah kita boleh rampas sekiranya kita lipat gandakan usaha."

Sementara itu, calon-calon umum dan fakulti pro-Aspirasi ketika ini sedang giat berkempen dan mengedarkan masnifesto mereka ke seluruh fakulti di univerisiti tersebut.

Menurut Sarfarizmal, pro-Aspirasi yang membawa motto "Gempur Aspirasi" telah memulakan kempen di tiga fakulti di sebelah pagi tadi.

Fakulti-fakulti tersebut ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan serta Fakulti Sains dan Teknologi.

Sarfarizmal berkata, pihaknya menyelaraskan empat agenda utama dalam manisfesto untuk calon umum antaranya, mendesak pentadbiran mewujudkan infrastruktur kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan berusaha mendapatkan kadar yuran pengajian yang perpatutan.

Sedia manifesto

Manakala calon pro-Aspirasi yang bertanding kerusi fakulti menyediakan manifesto masing-masing kerana pertandingan adalah atas tiket individu.

Sarfarizmal berkata, kumpulan pro-Aspirasi bergerak secara berkumpulan seramai enam orang pada sebelah pagi tadi dan akan menyambung semula kempen mereka di tiga fakulti lagi -

Pendidikan, Kejuruteraan dan Fakulti Undang-undang di sebelah petang.

Katanya, beliau juga turut memanggil calon-calon mereka yang bertanding di fakulti terbabit untuk bersama-sama berkempen.

Malam ini, kata Sarfarizmal, kesemua calon pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa, akan berkumpul dalam satu rapat umum di Kolej Kediaman Burhanuddin al-Helmi, Ibrahim Yaakob dan Ungku Omar untuk pengenalan calon.

Mengulas mengenai peluang mereka untuk memenangi pilihanraya kampus 15 Januari ini, beliau menjelaskan, berdasarkan maklum balas dari mahasiswa, pro-Aspirasi boleh mencapai kemenangan di kerusi-kerusi fakulti dan kerusi Umum yang dipertandingkan.

Bagaimanapun, beliau meramalkan pro-Mahasiswa akan menambah bilangan kerusi mereka, berbanding empat kerusi tahun lalu.

Sarfarizmal turut mendakwa pihaknya menerima laporan berhubung isu-isu menakut-nakutkan pelajar tahun satu serta perbuatan memburuk calon pro-Aspirasi.

Beliau turut menafikan tuduhan kononnya calon pro-Aspirasi adalah ejen bahagian Hal Ehwal Pelajar dan menerima rasuah daripada pihak-pihak tertentu.

ADS