BERITA

Pro-Mahasiswa pertikai pembatalan kemenangan calonnya

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Jan 2009, 3:26 pagi

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) yang pro-Mahasiswa mempertikaikan keputusan urusetia pilihanraya kampus membatalkan kemenangan calonnya di Fakulti Kejuruteraan setelah mengumumkan kemenangannya tanpa bertanding Khamis lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pengerusi gabungan itu, Ahmad Farhan Yusoff menjelaskan, kertas pencalonan calon pro-Mahasiswa, Norleana Usak, diterima pada hari penamaan calon Khamis lalu.

Memandangkan tiada calon pro-Aspirasi yang mencabar Nurleana, maka pihak urusetia mengumumkan beliau menang tapi bertanding.

Bagaimanapun, setengah jam kemudiannya, pihak urusetia membatalkan kemenangan Norleana dan mengarahkan kerusi fakulti tersebut dikosongkan.

Ahmad Fuad berkata, Nurleana kemudiannya dipanggil ke Fakulti Kejuruteraan dan dimaklumkan bahawa kemenangannya dibatalkan kerana tempoh baki pengajiannya tidak mencukupi tempoh sesi pilihanraya kampus kali ini.

Norleana adalah pelajar tahun akhir Fakulti Kejuruteraan dan dijangka tamat pengajiannya April depan.

"Persoalannya, kalau tak layak, kenapa kertas pencalonannya diterima. Kenapa tolak selepas buat pengumuman (kemenangan calon)," tanya Ahmad Farhan Yusoff.

Calon lain dibenar tanding

Bagaimanapun, Ahmad Farhan mendakwa terdapat lima calon Umum daripada pro-Aspirasi yang juga penuntut tahun akhir, dibenarkan untuk bertanding.

Katanya, empat daripada mereka adalah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan seorang dari Fakulti Sains dan Teknologi.

Lima fakulti menawar kursus tiga tahun pengajian, iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.

Manakala Fakulti Kejuruteraan menawarkan kursus pengajiannya selama empat tahun, tambah Ahmad Farhan.

"Calon tahun akhir dari lima fakulti berkenaan dibenarkan bertanding, (tetapi calon) fakulti kejuteraan dan alam bina, dia tak bagi. Sedangkan tak ada calon lain," kata Ahmad Farhan.

Menurut Ahmad Farhan, yang juga pelajar tahun empat di Fakulti Pendidikan, calon pro-Aspirasi juga tidak meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi di fakulti kejuruteraan.

Kemuka rayuan

Pengerusi GMUKM itu juga menjelaskan Norleana boleh menjalankan tugas sebagai wakil pelajar sehingga majlis konvokesyen pada bulan Ogos ini walaupun sudah tamat pengajiannya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kumpulan pro-Mahasiswa di UKM menang tanpa bertanding di empat kerusi - tiga kerusi kerana tiada calon pro-Aspirasi dan satu lagi kerana kertas pencalonan calon pro-Aspirasi ditolak.

Sebanyak 11 kerusi umum dan 23 kerusi fakulti dipertandingkan dalam pilihanraya kampus UKM Khamis ini.

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Norleana Usak menjelaskan dia telah mengemukakan rayuan kepada Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr Sharipah Habsah Syed Shahabuddin berhubung isu tersebut.

Norleana berkata, dia telah hantar rayuan tersebut Isnin lalu dan sedang menunggu keputusan rayuannya itu.

Mengenai pembatalan kemenangannya itu, Norleana berkata dia berasa terkilan dengan keputusan yang dibuat oleh urusetia pemilihan itu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan