Paling Popular
Terkini

Pada 6 November 2025, dunia tergempar bila Presiden Mexico Claudia Sheinbaum dipegang dari belakang oleh lelaki yang tidak dikenali. Presiden wanita ini selamat. Tapi ini hanyalah serangan peribadi.

Serangan yang lebih menakutkan dan menggoncangkan negara Mexico ialah serangan ganas kartel dadah. Di Amerika Latin ini dipanggil Narco-politics - di Malaysia kita panggil politik dadah.

Ini merujuk kepada jalinan organisasi pengedaran dadah haram berkait dengan institusi kerajaan. Kartel dadah di Amerika Latin ini menggunakan pengaruh kewangan atau kekerasan ke atas ahli politik, penguatkuasaan undang-undang dan sistem kehakiman untuk melindungi operasi haram mereka.

Politik dadah ini amat berkuasa bukan hanya di Mexico malah hampir di semua negara di Amerika Latin kini menghadapi masalah politik dadah.

Malah di Pakistan juga politik dadah sentiasa bergerak kencang. Pernah saya terbaca pada tahun 1978 bagaimana penyeludup dadah dari utara Pakistan membawa dadah dalam lori menuju ke pelabuhan di Karachi.

Bentrokan berlaku bila kastam cuba mengambil tindakan. Lori pembawa dadah ini diiringi oleh pasukan tentera Pakistan.

Istilah "politik narkotik" di Pakistan merujuk kepada keterlibatan mendalam perdagangan dadah haram dengan struktur politik negara, rangkaian militan, dan keselamatan serantau.

Terletak di sepanjang "Bulan Sabit Emas", Pakistan berfungsi sebagai laluan transit utama untuk candu, produk hashish dan ganja dari Afghanistan. Industri dadah ini memacu industri haram yang mungkin berjumlah AS$3 bilion.

Kenapa saya menimbulkan industri dadah ini? Dan apa kaitannya dengan badan politik negara Malaysia?

Adalah benar industri candu dan dadah dalam negara kita tidak sebesar dan meluas seperti di Segi Tiga Emas – Siam, Myanmar dan Laos.

Tapi awas - kerja dan pendekatan politik dadah ini tidak berbeza walaupun dalam negara apa.

Politik dadah ini bergerak sama ada di Colombia, di Mexico, di Pakistan, modus operandi adalah sama. Malah di Malaysia juga kumpulan gelap ini sedang bergerak kencang.

Betul ke ini? Atau ini hanya fitnah daripada tulisan Hishamuddin Rais?

Untuk pencerahan biar saya bersyarah lanjut. Saya telah bersyarah tentang Ghee Hin dan Hai San minggu lalu. Sambungan kali ini akan memberi gambaran bahawa Ghee Hin dan Hai San ini masih wujud malah makin berkembang luas dalam badan politik Malaysia.

Bekas ketua polis negara Musa Hassan pernah dilaporkan berkata dalam YouTube: 

"Dedahnya lagi, kumpulan kongsi gelap ini mampu mengawal ahli politik dan pegawai polis kerana mereka menjalankan aktiviti haram seperti dadah."

Astro Awani pada 30 Oktober 2017 membuat laporan: PDRM buru '9 Dragons' dipercayai VIP dalangi sindiket perjudian negara. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat dalang dan ketua sindiket perjudian di negara ini terdiri daripada kalangan orang kenamaan berpangkat Datuk, Datuk Seri serta Tan Sri.

Perkara itu disahkan ketua polis negara ketika itu Mohamad Fuzi Harun yang menyifatkan golongan orang kenamaan tersebut menggunakan pengaruh untuk melindungi sindiket haram.

Justeru apa yang saya tulis ini sah bukan fitnah.

Justeru terdapat kebimbangan gerombolan samseng, gangster dan kumpulan kongsi gelap masuk ke dalam badan politik Malaysia.

Justeru apabila nama nama-nama muncul dalam laporan korporat mafia dalam akhbar Bloomberg saya tidak hairan.


BACA: SPRM dakwa tuduhan 'mafia korporat' cuba jejaskan siasatan sektor korporat


Apa yang menghairankan saya ialah kenapa Bloomberg mengambil masa yang agak lama untuk membocorkan berita ini.

Sejarah merakam bagaimana Hai San dan Ghee Hin mencari dana menjual candu. Dana ini diperlukan untuk membentuk kumpulan soldadu kaki pukul untuk menjalankan operasi peras ugut atau pau.

Samseng dan kumpulan gelap hari ini juga seperti kenyataan ketua polis negara terlibat dalam perniagaan dadah. Mereka juga terlibat dalam perniagaan lendir – pelacuran.

Perniagaan haram ini memang lumayan. Ini menjadikan kepala samseng ini orang kaya berduit. Langkah pertama para samseng kaya ini ialah membeli, saya ulang, membeli gelaran darjah kebesaran.

Perniagaan awal yang lumayan ialah mendirikan kawasan perumahan baru. Ada samseng kongsi gelap menjadi cukong dan dikenali sebagai ‘developer’ (pemaju).

Kawasan perumahan ini ada yang lumayan. Maka ada politikus akan diberikan rumah banglo – mungkin sebagai hadiah atau tanda terima kasih kerana meluluskan projek perumahan ini.

Umum sering mendengar bagaimana ada kawasan perumahan didirikan dengan bantuan politikus. 

Sementara itu, pada 20 Julai 2023 Sinar Harian melaporkan: Rumah Anwar di Bandar Sungai Long adalah pajakan – Peguam.

Anwar bin Ibrahim terpaksa menggunakan khidmat peguam untuk menamatkan desas-desus dan fitnah yang tersebar. 


BACA: Rumah di Kajang dipajak PM selama 10 tahun, kata peguam


Adakah politikus boleh dibeli oleh cukong? Adakah politikus dapat dipengaruhi oleh kumpulan kongsi gelap?

Jawabnya amat mudah. Politikus memerlukan dana untuk berkempen mencari undi. 

Perkara ini tidak semestinya akan berlaku kepada semua politikus. Para samseng dan gangster juga dapat menilai apakah politikus itu memiliki masa depan untuk mereka melabur dana.

Apa sangkut-paut semua ini dengan laporan Bloomberg?

Memahaminya amat mudah. Para cukong yang kaya raya dari hasil lendir dan dadah kini telah menjadi Datuk Seri dan Tan Sri. Mereka kini telah menjadi pemaju perumahan. Maka mereka perlu mara setingkat lagi untuk terus mengumpul harta.

Kali ini mencebur diri memasuki perniagaan dalam bidang jual beli saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Di sini, seperti dilaporkan Bloomberg, ada orang dalam SPRM memainkan peranan. Si cukong boleh mendapat pertolongan.

Tolong macam mana? Tolong siasat syarikat yang diminati oleh cukong ini. Cari kesalahan syarikat ini. Pasti boleh bertemu. Maka syarikat ini akan beralih tangan. Mungkin dengan harga bawah pasaran.

SPRM ini sama macam polis buat roadblock, pegang mat rempit dan periksa motosikal. Pasti akan bertemu salah jika ingin mencari salah untuk tujuan pau.

Syarikat yang disasar mungkin ada bayaran cukai tidak lunas. Ancam untuk bekukan akaun syarikat. Ada seribu satu macam kesalahan yang SPRM boleh selongkar. Semua ini dilaporkan oleh Bloomberg.

Apa pula peranan orang politik dan cukong?

Mungkin syarikat cukong menjadi syarikat yang diminati oleh satu cukong baru. Justeru cukong lama minta pertolongan daripada ahli politik untuk menyelamatkan syarikatnya.

Kenapa pertolongan daripada ahli politik diperlukan?

Pertanyaan ini akan membawa kita kembali kepada pemimpin negara. Kita wajib mengetahui apa hubungan ahli politik dengan pemimpin negara. 

Samseng jual lendir kini telah menjadi ahli korporat. Samseng rumah urut kini bergelar Tan Sri. Syarikat cukong kini tersenarai di Bursa Saham.

Apakah hubungan cukong ini dengan politikus masih wujud? Sila tunggu tulisan seterusnya. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS