Circumstance filem fiksyen melodrama pertama arahan Maryam Keshavarz bertemakan cinta sejenis di Republik Islam Iran. Latarnya adalah suasana mengongkong dan mengekang kebebasan rakyat negara itu khususnya anak muda pascarevolusi 1979.

Ia mengisahkan dua sahabat yang ingin menikmati kebebasan di sebuah negara yang dikuasai mullah teokratis.

Atafeh (Nikohl Boosheri) dan Shireen (Sarah Karzemy) - remaja 16 tahun yang bersahabat baik - menjalani hidup mereka sama seperti remaja lain di negara itu yang dikongkong dengan pemikiran sekata terhadap agama, adat dan tabu.

Antara kekangan dipaparkan dalam filem ini ialah kemestian bertudung apabila keluar rumah, tidak dibenarkan mandi di pantai seperti orang lelaki dan dilarang berdua-duaan dengan lelaki atau mengunjungi kelab malam.

Pengalaman remaja seperti itu turut terakam dalam filem lain seperti Persian Cat (2009) dan Offside (2006).

Di peringkat antarabangsa filem Circumstance memenangi pelbagai pengiktirafan termasuk memenangi Anugerah Pilihan Penonton di Filem Festival Sundance 2011.

Untuk makluman, filem ini diharamkan di Iran.

Sembunyi identiti

Atafeh dan Shireen - si gadis bermata galak itu - hidup dengan menyembunyikan identiti melalui pemakaian tudung pada waktu siang dan mengubah penampilan ketika malam untuk menikmati hiburan di disko atau 'minum-minum' di kediaman besar rakan mereka.

Pada suatu ketika mereka pernah berputus asa hidup dalam negara teokrasi dan mahu melarikan diri ke Dubai yang dianggap menjanjikan kebebasan diidamkan.

Atafeh dilahirkan dalam keluarga aristokrat malah selesa dengan cara hidup barat sebelum revolusi 1979. Dia mempunyai seorang abang, Mehran (Reza Sixo Safai) - asalnya seorang pemuzik Parsi yang bertukar menjadi fundamentalis selepas 'taubat' dadah.

Shireen pula seorang anak yatim yang dibesarkan oleh nenek selepas ibu bapanya dibunuh kerana bersikap antikerajaan.

Antara kegiatan rahsia Atafeh dan Shireen ialah mencuri-curi keluar malam untuk berhibur, clubbing, mendengar lagu hip hop, menari, minum arak, merokok dan menelan ekstasi.

Tidak itu saja. Mereka juga berkongsi harapan, impian dan cinta untuk menghargai kehidupan remaja masing-masing.

Atafeh dan Shireen sentiasa berdampingan ke mana-mana sahaja menyebabkan akhirnya mereka masing jatuh cinta dan berasmara.

Siri shot close up, muaik, tona warna dan lakonan yang mantap dan berani, berjaya menimbulkan suasana intimasi dalam filem itu.

Jadi polis moral

Maryam bijak mewujudkan mise-en-scene dan suasana intimasi ghairah dalam babak percintaan kedua-dua remaja Iran itu.

Ia menjadi lebih berkesan dengan kemahiran jurukamera Brian Rigney Hubbar, pencahayaan lampu, pereka set dan kostum yang digunakan.

Media melaporkan Maryam mendakwa penggambaran Circumstance dibuat di Beirut, kerana latar suasananya lebih kurang sama dengan Iran.

Konflik berlaku apabila Mehran keluar pusat tahanan selepas didapati positif mengambil dadah. Perwatakannya bertukar daripada liberal menjadi fundamentalis.

Kemudian dia bekerja sebagai 'polis moral' mengawasi anak-anak muda daripada melakukan maksiat.

Tindakan ala fundamentalis jalur keras dapat disaksikan apabila dialog menentang sebarang bentuk pencabulan terhadap agama dan tindakan Mehran memukul rakannya yang memberikan dadah dalam sebuah kelab malam sebelum diserbu.

Bagi mengelakkannya 'berdosa' Shireen dikahwinkan pada usia muda dengan Mehran.

Hubungan intimasi, foreplay

Selepas menyedari Shireen dijodohkan dengan abangnya, Atafeh kecewa dan tidak keruan kerana tidak dapat menerima hakikat yang berlaku. Dia ditahan polis moral sekali lagi.

Atafeh juga diminta oleh ibunya untuk menerima realiti yang berlaku hidup dalam sebuah negara dikuasai mullah.

Perkahwinan Shireen dengan abangnya pada mulanya agak janggal - daripada bujang lesbian menjadi isteri yang kudus. Mehran juga memasang CCTV di semua sudut rumahnya termasuk bilik adiknya.

Dia obses memerhati gerak geri kedua-dua remaja wanita itu yang mengadakan hubungan intimasi dan foreplay . Namun selepas itu, Shireen diberi amaran dan menyesal dengan perbuatannya.

Lama kelamaan beliau dapat menerima hakikat bahawa dia adalah isteri orang dan perlu menerima realiti hidup di Iran. Tetapi tidak begitu kepada Atafeh – yang menyedari rakamannya bersama Shireen disimpan dalam komputer riba abangnya.

Atafeh masuk ke bilik Shireen untuk berasmara - seperti sebelum itu - selepas ketiadaan Mehran. Tetapi kali ini usahanya ditolak. Hal demikian menyebabkan Atafeh kecewa dan lari dari Iran.

Dan Shireen terpaksa melupakan cintanya terhadap Atafeh sekalipun sejarah dan perasaan itu sukar dipadam.

Filem ini menjelaskan bagaimana paksaan melahirkan individu fundamentalis dan mewujudnya lompang besar hasil sebuah revolusi.

Dialog Atafeh dan ayahnya sewaktu mendaki bukit menggambarkan situasi lompang itu.

Revolusi Iran yang berlaku tidak diminta oleh anaknya, tetapi generasi ayahnya yang membangkitkan revolusi menyebabkan generasi kemudian menanggung akibat.


ABDUL RAHIM SABRI anggota redaksi Malaysiakini.