Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Salah seorang calon bebas dalam pilihanraya kecil Bukit Selambau - Abdul Rahim Abu - memulakan kempennya pagi tadi dengan mengedarkan manifestonya kepada peniaga dan orang ramai di pekan Bukit Selambau.

Abdul Rahim, 48, yang berkelulusan ijazah sarjana pengurusan sumber manusia dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan lambang jam loceng dalam pilihanraya kecil 7 April ini.

Ditanya mengapa memilih lambang tersebut, beliau berkata: "Demi masa, sesungguhnya, semakin hari, kita semakin tua. Kita perlu berubah."

bukit selambau by election abdul rahim bin abu independent candidate 010409 02 Di samping itu, katanya, calon nombor 6 itu berkata, ia juga strategi untuk menarik pengundi Cina kerana pada masyarakat tersebut, angka 8 (pada jam loceng itu) dianggap 'ong' atau bertuah.

Ketika ditemui Malaysiakini pagi tadi,beliau sedang mengedarkan manifestonya kepada para peniaga di pekan Bukit Selambau, termasuk di Arkeb Mara di situ.

Abdul Rahim berkata, manifestonya mengandungi 10 perkara utama untuk membantu rakyat tempatan memajukan kawasan Bukit Selambau.

Katanya, ini termasuk memperbaiki infrastruktur yang masih ketinggalan, seperti di Sungai Getah di mana penduduknya masih belum mendapat bekalan air.

Jika terpilih sebagai ADUN, Abdul Rahim berkata, beliau akan menyediakan paip air ke kampung tersebut dengan perbelanjaan sendiri.

Di samping itu, beliau berjanji untuk membantu golongan remaja dalam bidang sukan, ilmiah, keusahawanan dan pembelajaran.

"Saya juga akan mendesak kerajaan meningkatkan ekonomi penduduk setempat dengan membina lebih banyak tempat berniaga," tambahnya.

Anak kelahiran tempatan

Abdul Rahim berkata, beliau mendapat maklumbalas dari akar umbi di Bukit Selambau bahawa mereka akan memilih calon yang rajin bekerja, berwibawa dan berpelajaran tinggi.

Oleh itu, kata anak kelahiran Kampung Jerung di Bukit Selambau, beliau layak untuk menawarkan diri bertanding dalam pilihanraya kecil di situ.

bukit selambau by election abdul rahim bin abu independent candidate 010409 01 Menurutnya lagi, beliau tetap akan bertanding dalam pilihanraya kecil kali ini walaupun tersebar berita yang mengatakan tiga calon telah menarik diri.

Abdul Rahim juga menjadikan tokoh masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye sebagai suri-teladan bagi dirinya.

Mengenai kempennya, Abdul Rahim berkata, beliau juga mengedar manifesto kepada penduduk dari rumah ke rumah.

Katanya, beliau menjadikannya sebagai agenda terpenting untuk menambat hati pengundi.

Menurut Abdul Rahim, sekiranya dipilih sebagai ADUN, beliau akan melaksanakan sekurang-kurangnya 80 peratus manifestonya, dalam masa setahun.

Bekas ahli Umno

"Kalau saya tak laksanakan salah satu daripada janji dalam manifesto itu, anda boleh desak saya lepas jawatan yang saya pegang," katanya.

Mengenai latarbelakangnya, Abdul Rahim berkata, beliau adalah pengurus koperasi di sebuah syarikat elektronik di Sebarang Perai sebelum melepaskan jawatan untuk bertanding di Bukit Selambau.

Katanya, beliau adalah ahli Umno bahagian Bukit Gelugor di Pulau Pinang tetapi telah keluar parti itu setahun lalu.

Beliau mendapat ijazah pertama sarjana muda dalam bidang Komunikasi di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana dalam bidang pengurusan sumber manusia dari UUM.

Abdul Rahim juga menolak dakwaan beliau ditaja oleh mana-mana pihak.

"Kalau tuduh saya ditaja, bagi bukti, cek keluarga saya, periksa kehidupan saya, cek akaun saya...," katanya.

ADS