Selepas menunggu sejak tahun 2005, akhirnya 120 pembeli pangsapuri Bistari Shah Alam dijanjikan akan diberi kunci masing-masing dalam masa 14 hari lagi.

Pangsapuri setinggi sembilan tingkat itu terletak di Seksyen 16, kira-kira 3km dari pusat bandar Shah Alam.

Jaminan tersebut diberikan oleh setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi ketika menemui pihak media di pejabatnya petang tadi.

Seorang pembeli terbabit, Ahmad Marzuki Mahmud memberitahu Malaysiakini , beliau dimaklumkan mengenai jaminan tersebut oleh seorang pegawai MAIS petang tadi.

Sebelum itu, beliau dan 14 pembeli berkumpul di tingkat sembilan bangunan MAIS untuk mendesak supaya dipercepatkan pemberian kunci kepada para pembeli.

Projek tersebut dimulakan pada tahun 2001 dan pembeli terbabit masing-masing membeli pangsapuri itu mulai tahun 2002.

Pangsapuri tersebut dijadual siap pada tahun 2005, tetapi proses mendapatkan sijil kelayakan (CF) berlarutan sehingga tahun ini.

Ahmad Marzuki berkata, pihaknya berhubung dengan MAIS kerana tidak dapat menghubungi lagi pemaju projek tersebut.

Selama ini, katanya, mereka berurusan terus dengan MAIS selaku pemilik tanah projek pangsapuri tersebut.

Ditanya tindakan seterusnya sekiranya mereka gagal mendapatkan kunci masing-masing dalam masa 14 hari lagi, beliau berkata: "Ia akan diputuskan kemudian".