Bekas Pengerusi Kongres Indian Muslim Malaysia (Kimma) Wilayah Persekutuan (WP) Mohd Fazil William Abdullah menafikan dakwaan bahawa kesemua 12 cawangan Kimma di WP tidak mengadakan mesyuarat agung cawangan masing-masing.

Katanya, dakwaan yang dibuat oleh Pengerusi Kimma, Syed Ibrahim Kader itu adalah tidak benar.

"Kalau cawangan tak buat mesyuarat, bagaimana Kimma pusat boleh buat mesyuarat?" soal Mohd Fazil ketika dihubungi Malaysiakini .

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Syed Ibrahim bahawa pengerusi baru dilantik menggantikan Mohd Fazil sebagai pengerusi Kimma WP bersifat sementara bagi memberi peluang kepadanya untuk memastikan semua 12 cawangan Kimma di WP mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Menurut Syed Ibrahim lagi, semua 12 cawangan Kimma di WP gagal mengadakan mesyuarat agung masing-masing.

Mengulas lanjut, Mohd Fazil bagaimanapun mengakui masih belum menghantar laporan mesyuarat tahunan dan minit mesyuarat kepada Jabatan Pertubuhan Syarikat (ROS).

Hantar laporan pada ROS

Katanya, beliau pergi ke ROS di Putrajaya minggu lalu dan pegawai di sana memberitahunya bahawa semua cawangan masih lagi hidup dan mempunyai masa untuk menghantar laporan mesyuarat tahunan.

"Selagi tak terima surat amaran berwarna kuning, cawangan boleh aktif hingga tempoh tiga bulan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Mohd Fazil berkata, beliau akan berusaha untuk menyiap dan menghantar laporan tersebut minggu ini.

Katanya, semua 12 cawangan di WP dan mesyuarat agung peringkat Wilayah Persekutuan telah diadakan Mac lalu.

Dua belas cawangan Kimma di WP adalah cawangan Wilayah Persekutuan, Setiawangsa, Taman Melawati, Taman Melati, Air Panas, Sri Rampai, Kawasan Sri Petaling, Kawasan Genting Kelang, Tasik Tambahan, Bandar Tasik Puteri, Desa Jaya dan Taman Melewar.

Kimma WP mempunyai kira-kira 12,000 ahli.

Mesyuarat agung Kimma WP pada 17 Mac lalu itu telah memilih beliau bersama-sama timbalan presiden, setiausaha dan bendahari melalui undi sulit.

Sehubungan itu, kata Mohd Fazil, beliau masih lagi percaya adanya "sebab tersembunyi" yang mahukan mahukan beliau dipecat daripada jawatan tersebut.