mk-logo
Berita
Isu masjid: SU menteri akui silap guna kepala surat

Setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan mengakui tersilap menggunakan kepala surat kementerian berkenaan yang dihantar kepada ketua Umno bahagian di negeri tersebut, berhubung pelantikan ahli jawatankuasa masjid di kariah masing-masing.

M Sazali Kamilan - setiausaha politik kepada Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin - berkata surat tersebut juga bukan untuk dihantar kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Sebaliknya, jelas beliau, surat itu bertujuan meminta ketua Umno bahagian di Wilayah Persekutuan mengemukakan senarai calon yang berwibawa untuk dicadangkan kepada JAWI bagi dilantik menganggotai AJK masjid.

"Saya mengakui kesilapan itu. Tidak sepatutnya saya menggunakan kepala surat kementerian berkenaan (untuk tujuan tersebut)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sazali diminta mengulas kenyataan ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali yang membantah sikap Menteri Wilayah Persekutuan yang didakwanya mencampuri urusan hal ehwal agama Islam di Wilayah Persekutuan.

Dr Lo' Lo' mendakwa, ia dilakukan melalui surat yang ditandatangani oleh setiausaha politik menteri berkenaan yang dikatakan ditujukan kepada JAWI berhubung penyusunan semula pentadbiran masjid dan surau.

Mengulas mengenai pemilihan dan pelantikan calon untuk mengisi jawatankuasa masjid di seluruh Wilayah Persekutuan, Sazali berkata, ia terpulang kepada perbincangan dan mesyuarat antara menteri, JAWI dan pimpinan masyarakat setempat.

"Dari segi fizikalnya, surau dan masjid adalah di bawah seliaan Menteri Wilayah, tetapi soal dakwah dan pengisian di masjid, di bawah bidangkuasa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom," katanya.

Bagaimanapun beliau "tidak pasti" bila perbincangan untuk memilih jawatankuasa tersebut akan diadakan.

Beliau berharap isu itu tidak dipanjangkan dan berharap ahli Umno, sekiranya dilantik dalam jawatankuasa masjid atau surau, akan memainkan peranan lebih aktif untuk membangun masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini