Bagan Pinang: Hanya fail petisyen jika ada bukti kukuh
PAS akan hanya memfailkan petisyen mencabar kemenangan BN dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang dalam tempoh sebulan selepas keputusannya diwartakan sekiranya parti itu dapat mengumpulkan bukti-bukti kukuh berlaku penyelewengan, khususnya dalam undian pos.
"Sekiranya ada bukti yang kuat, kita akan nasihatkan PAS supaya memfailkan petisyen tersebut," kata Pengerusi Lajnah Guaman PAS, Mohamed Hanipa Maidin.
Beliau berkata, pihaknya sedang mengumpulkan keterangan dan bukti yang berkaitan dengan pelanggarran undang-undang pilihan rayadi Bagan Pinang.
Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Mohamed Hanipa yang juga ahli jawantakuasa PAS Pusat berkata, setakat ini tiada arahan rasmi dari pucuk pimpinan PAS untuk memfailkan saman tersebut.
Dalam pilihan raya kecil itu dua minggu lalu, PAS membuat pelbagai desakan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung prosedur dan pengendalian undi pos yang sering dicurigai pembangkang sebelum ini.
Calon BN Tan Sri Isa Samad berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan jumlah majoriti 5,345 undi.
Isa yang juga ketua Umno Teluk Kemang memperolehi 8,013 undi, mengalahkan calon PAS Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi.
Manakala bagi undi pos pula, BN mendapat 3,521 undi dan PAS mendapat 601 undi.
DUN Bagan Pinang mempunyai jumlah pengundi pos yang sangat ramai, 4,611 daripada keseluruhan 13,664 pengundi. Seramai 4,571 merupakan anggota tentera.
Mengulas berhubung perkembangan pengumpulan bukti tersebut, Mohamed Hanipa mendakwa berlakunya pelanggaran undang-undang dalam undian pos.
"Kita akan dapatkan bukti, tetapi sekiranya ia tidak menjejaskan keputusan, mahkamah biasanya menolak petisyen. Mereka menang agak besar, jadi kita kena lihat semua aspek," kata Mohamed Hanipa yang mengendalikan petisyen PAS di DUN Sanglang.
Pada 16 September tahun lalu, pesuruhjaya PAS Perlis, Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi DUN Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan menerima rayuannya.
Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.
Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan.

