K'jaan S'gor disaran isytihar Rejab bulan Palestin
Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa mencadangkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor supaya menjadi bulan Rejab setiap tahun sebagai bulan Palestin.
"Ini simbolik kepada peristiwa Israk Mikraj di mana baginda Rasulullah singgah di Palestin," katanya ketika berucap di meja bulat anjuran Pakatan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di ibunegara pagi ini.
Ia membincangkan isu serangan Israel terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusian ke Gaza Isnin lalu.
Katanya, langkah itu juga untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia masia yang mana tahap kesedaran "masih belum sampai" seperti rakyat turki.
Beliau juga menggesa supaya Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) didesak berdasar Artikel 9 OIC supaya memanggil mesyurat khas berhubung isu Palestin.
"Ia tidak digerakkan oleh mana-mana negara anggota OIC. Kita desak kerajaan Malaysia supaya menggunakan artikel tersebut supaya diadakan sidang khas tersebut," katanya.
Turut hadir dalam sesi itu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tokoh popular DAP Lim Kiat Siang.
Anwar yang juga ketua umum PKR pula dalam ucapannya menyifatkan isu Palestin bukan persoalan sekterian semata-mata, tetapi turut melibatkan penafian hak ke atas tanah mereka sejak sekian lama.
Beliau juga mengkritik firma perunding Apcp Worldwide yang disifatkannya berkait dengan isu keselamatan dan maruah negara.
"Saya mengkritik Apco kerana mereka berpengaruh dan telah mempengaruhi satu badan untuk menyerang saya secara peribadi, menghukum saya dan menganggap saya musuh kepada Israel.
"Mereka nak kelirukan bahawa serangan (kritik) kita kepada Israel dikaitkan dengan antikaum," katanya.

