Ahli akar umbi Umno bahagian Petaling Jaya Selatan disaran bersatu seperti Umno Sabah bagi merampas semula kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-13 seterusnya merampas kembali kerajaan Selangor.

agm umno pjs Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Musa Aman berkata bahagian tersebut harus mencontohi Umno Sabah sewaktu ketika dahulu yang pernah menjadi pembangkang, dan kini menjadi sebuah kerajaan yang ditunjangi oleh Umno.

"Kami di Sabah pernah menjadi pembangkang tetapi kami dapat bersatu dan (dapat) memimpin kerajaan negeri kembali.

"(Nasib) Sabah dan Selangor adalah sama. Kita (Umno Sabah) dulu, (jadi)lemah kerana ada pepecahan sesama kita. Kalau kita bersengketa, kita bertelagah satu dengan yang lain, maka kita akan jadi lemah dan apabila tiba pilihan raya, kita kalah," katanya sewaktu merasmi mesyuarat perwakilan bahagian tersebut pagi ini.

Sehubungan itu, katanya, perpaduan dalam parti amat penting untuk memastikan BN terus memerintah Malaysia dan merampas semula negeri Selangor.

hanipuddin raja nong chik Beliau berkata demikian bagi mengulas ucapan aluan oleh Pemangku Ketua bahagian Datuk Hanipuddin Raja Datuk Nong Chik sebelum itu yang mengakui masih wujudnya pepecahan ahli akar umbi di bahagian tersebut.

Musa yang juga pengerusi Umno Sabah berkata sewaktu Umno Sabah menjadi pembangkang, Umno Selangor banyak membantu mereka pada ketika itu.

"Umno Selangor pada waktu itu adalah kubu kuat BN dan Umno dan menjadi 'role model' kepada negeri lain.

"Dahulu tuan-tuan tolong kami, sekarang sedikit sebanyak kami menolong Selangor," kata Musa yang menjadi bapa angkat kepada bahagian tersebut.

Musa yang juga ketua menteri Sabah berkata kekalahan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang lalu ia disebabkan oleh "kelemahan Umno dan bukan pembangkang yang kuat".

"Kita perlu bersatu padu, tidak ada hasutan dan iri hati. Jangan ada persengketaan (maka) kita mesti kuat," katanya.

Katanya akar umbi Umno mesti bekerja keras dan bersatu padu bagi merampas semula kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan dan dua DUN di bawahnya - Taman Medan dan Bukit Gasing - yang kini dikuasai oleh PKR.

"Kita perlu kerjasama dan bersatu padu untuk merampas kembali (kerusi-kerusi itu) dan apa yang ada sekarang tidak lebih baik sewaktu kerajaan BN dahulu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan Umno bahagian dan akar umbi merapatkan barisan untuk melakukan transformasi bagi membentuk satu kekuatan dengan lebih mantap lagi.

Sementara itu, beliau juga turut mengingatkan agar memandang serius pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya pemimpin Umno "tidak berebut kerusi" dalam pilihan raya akan datang.

"Serahkan kepada pucuk pemimpin BN untuk memutuskannya," katanya.