Setelah berjaya memperbaharui permit penerbitannya, akhbar rasmi PAS Harakah berharap dua lagi akhbar pembangkang Suara Keadilan dan Roket mendapat peluang yang sama.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah Datuk Mustafa Ali berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memperbaharuinya kerana ia hak yang dijamin dalam negara demokrasi.

NONE "Ia bagi menggambarkan wujudnya kekebasan media di negara ini," katanya yang juga setiausaha agung PAS.

Semalam KDN memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah yang tamat pada 7 Julai lalu, dengan memberi amaran keras supaya ia hanya dijual di markas dan pejabat urusan parti itu sahaja.

Bagaimanapun, nasib Suara Keadilan dan Roket setakat ini masih belum diketahui.

Malah, lebih teruk, Suara Keadilan juga sedang disiasat polis bawah akta penerbitan dan mesin cetak serta akta rahsia rasmi (OSA) kerana menyiarkan surat kerajaan yang bertanda sulit.

Isnin dalam pasaran

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat parti Islam itu di ibu negara, Mustafa memberikan jaminan pihaknya akan mematuhi amaran keras yang dikeluarkan KDN kepada mereka.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik kelulusan yang diberikan oleh KDN dan menegaskan edisi terbaru Harakah akan berada di pasaran pada Isnin minggu depan.

azlan "Edisi pada hari ini (Jumaat) kita terlepas, kerana (waktu itu) kita belum dapat permit.

"Jadi kita ikut peraturan dan kita tidak cetak. Edisi hari Isnin akan diteruskan seperti biasa, dua kali seminggu," katanya.

Ditanya mengenai pengedaran Harakah kepada ahli sahaja, Mustafa berkata perkara tersebut telah dijelaskan kepada kementerian tersebut dalam perbincangan yang diadakan baru-baru ini.

"Penjelasan (ada) dalam surat KDN, kita berbincang dengan pengedar bahawa memang pada anggapan mereka, mereka jual kepada ahli PAS.

Hantar naskhah walau lepas waktu pejabat

"Hendak pastikan bukan ahli PAS, payahlah. Pengedar kata, memang saya jual kepada ahli PAS," katanya.

Mustafa yang juga setiausaha agung parti berkata dalam perbincangan itu juga, beliau berjanji dengan pihak kementerian akan menghantar naskah sebaik sahaja akhbar selesai dicetak walaupun waktu pejabat sudah tamat.

NONE "Kalau pukul enam (petang) selesai cetak, pukul enam kita hantar. Kita tidak tunggu hari berikutnya (untuk hantar)," katanya.

Ditanya sama ada pihaknya menjangkakan akan berlakunya penurunan penjualan susulan amaran keras yang diberikan, Mustafa berkata beliau tidak dapat membuat penilaian berhubung perkara tersebut.

"Tak tahu lagi, selepas berjalan beberapa isu, baru kita boleh buat penilaian. Perkara yang tidak boleh diduga, tidak boleh buat penilaian," katanya.

Mustafa juga menegaskan sekali lagi, bahawa pihaknya bersedia berbincang dengan KDN pada bila-bila masa sekiranya masih ada perkara berbangkit.