MT putuskan Kimma ahli bersekutu Umno
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini menerima Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) sebagai ahli bersekutu Umno.
Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga adalah presiden Umno, Kimma akan mendapat beberapa keistimewaan seperti dijemput sebagai pemerhati pada mesyuarat agung Umno dan mesyuarat perwakilan bahagian jika mereka mempunyai wakil di bahagian tersebut.
"Tetapi mereka tidak boleh terlibat dalam urusan Umno.
"Mereka juga bersetuju dan menyokong segala dasar (yang dibuat) oleh kerajaan dan MT," katanya.
Menurut Najib lagi, Kimma juga berperanan untuk membantu menguatkan Umno dan BN.
Ditanya mengenai tunjuk perasaan oleh rakyat Indonesia terhadap Malaysia, Najib berkata beliau "tidak hairan" kerana di negara tersebut tersebut terdapat kumpulan upahan yang dibayar oleh pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
"Saya tidak anggap ia adalah cerminan kepada pemerintahan Indonesia kerana hubungan Indonesia dan Malaysia adalah
baik.
'Duta dipanggil'
"Kita selesa dengan hubungan baik ini. Jangan sesiapa merosakkannya,"katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pihak tidak terperangkap dengan perkara tersebut.
"Kabinet telah memanggil duta Indonesia supaya pihak berkuasa (di sana) mengambil tindakan (sewajarnya)," katanya.
Sejak minggu lalu beberapa siri bantahan diadakan di kedutaan besar Malaysia di Jakarta dengan kemuncaknya pada Isnin lalu.
Selain dilemparkan dengan najis, penunjuk perasaan juga membakar Jalur Gemilang.
Ia dipercayai berkaitan dengan insiden penangkapan tiga pegawai kementerian kelautan dan perikanan Indonesia yang didakwa menceroboh ke kawasan perairan Malaysia baru-baru ini.
Parlimen Indonesia yang berang mahu Malaysia meminta maaf kerana menggari dan memakaikan baju banduan kepada tiga petugasnya itu.
Namun Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman semalam menegaskan Malaysia tidak akan meminta maaf atas insiden berkenaan.

