Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang lagi calon timbalan presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub melancarkan manifestonya dengan menggariskan empat misi utama, antara lain mahu menyemarakkan politik baru berteraskan prinsip nilai, khidmat serta amanah.

NONE Dalam manifesto ( kiri ) yang diedarkan bermula hari ini, Mustafa berhasrat memantapkan ruang demokrasi dalam PKR dengan mengetengahkan suara anak muda, wanita dan "suara-suara terpinggir".

 Manifesto tersebut diedarkan kepada media dan penyokongnya petang ini di Kelab Sultan Sulaiman sempena pengumuman beliau untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden.

Kira-kira 50 penyokongnya dari seluruh negara - terutamanya daripada kubu kuatnya di Perak - hadir memberi sokongan terhadap kepimpinannya.

Setakat 159 cabang yang telah mengadakan mesyuarat, Mustaffa Kamil - kini naib presiden PKR - memperolehi 16 pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden.

NONE Dua lagi tokoh - yang kini mendahului pencalonan - Azmin Ali dan Datuk Zaid Ibrahim masing-masing memperolehi 90 dan 33 pencalonan.

Dalam manifesto itu juga, Mustaffa Kamil juga mahu memastikan kesinambungan PKR agar bertambah kuat, imej yang meyakinkan serta menjadi wadah politik masa depan negara.

Beliau berjanji mahu memasyarakatkan proses pendidikan, latihan dan tarbiah dalam parti di semua peringkat agar melahirkan ahli dan pemimpin yang berhemah, profesional dan berbudaya ilmu.

Sementara itu, dalam sidang medianya Mustaffa yakin manifestonya dapat diterima oleh ahli dan yakin bahawa "politik nilai" dapat diketengahkan dalam parti.

Katanya, sebagai pengerusi Akademi Keadilan, pihaknya sedang melahirkan kira-kira 2,000 ahli dari akademi tersebut yang menekankan mengenai politik nilai dan tadbir urus yang baik.

"Sepanjang satu tahun saya memimpin akademi itu, mereka dalam proses kepimpinan dan ada sinaran harapan baru. Saya yakin bahawa politik nilai (dapat) diketengahkan," katanya.

Mustaffa Kamil mendakwa rakyat sudah muak dengan politik perkauman, mengadu domba dan politik wang.

ADS