Pemilihan pucuk pimpinan PKR bermula hari ini dengan 10 cabang di Kedah dan Kelantan - dari jam 10 pagi hingga 4 petang ini.

Mereka terdiri daripada lima cabang di Kedah dan lima lagi di Kelantan.

Di Kedah, cabang yang mengundi hari ini ialah Langkawi, Kubang Pasu, Alor Star, Kuala Kedah dan Pokok Sena.

Manakala di Kelantan ialah Tumpat, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa.

Ahli di 69 daripada 222 cabang PKR mengundi esok, lusa dan hari Ahad ini. Mereka ialah ahli tujuh cabang di Kedah, Kelantan (10), Pahang (14), Negeri Sembilan (8), Perak (17), Perlis (3), Pulau Pinang (6) dan Melaka (4).

Di Langkawi, proses pengundian berjalan lancar. Cabang itu mempunyai 3,313 ahli PKR yang layak mengundi hari ini.

Ketua cabangnya, Wan Salleh Wan Isa ketika dihubungi Malaysiakini berkata, sehingga jam 11.40 pagi tadi, kira-kira 200 sudah keluar mengundi.

Beliau menjangka, lebih ramai akan keluar mengundi selepas solat Jumaat hari ini.

Pengundian cabang Langkawi berlangsung di dewan orang ramai di Ulu Melaka.

"Kalau ahli yang keluar mengundi hari ini antara 800 hingga 1,000 kita menjangka keputusan akan diketahui kira-kira jam 7 malam untuk semua jawatan," katanya.

Mereka akan mengundi memilih timbalan presiden, empat naib presiden dan 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding.

Manakala ahli Pemuda dan Wanita akan memilih ketua, timbalan, naib dan exco masing-masing. Menurut pekeliling ibupejabat PKR, proses pengundian untuk memilih pucuk pimpinan parti itu akan berlangsung pada hujung minggu.

Pemilihan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara dua naib presiden - Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub - serta penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Bagi naib presiden pula, 17 calon layak bertanding jawatan tersebut, manakala 132 calon akan bersaing kerusi MPP.

Sementara itu, di cabang Kota Bharu pula, pengundian di cabang itu bermula lewat 30 minit seperti yang dijadualkan disebabkan pengawas pemilihan dari Kuala Lumpur lewat tiba.

Ahli jawatankuasa cabang Hasanudin Roslan bagaimanapun berkata proses pengundian berjalan dengan lancar tanpa sebarang kekecohan setakat ini.

Setakat jam 12.55 pagi, 162 daripada kira-kira 1,900 ahli telah mengundi dan keputusan rasmi bagi semua jawatan dijangka akan diketahui seawal jam 7 malam.

Di Rantau Panjang pula, proses pengundian lewat sejam setengah dan hanya bermula pada jam 11.30 pagi.

Seorang pengawas pemilihan di situ memberitahu ia disebabkan kelewatan kertas undi tiba di pusat pengundian.

Katanya, seramai 281 ahli yang layak mengundi hari ini.

Menurutnya, proses pengundian sebelah pagi tadi agak lembab.

Bagaimanapun, semakin ramai yang tiba untuk mengundi solat Jumaat.

"Setakat ini, dianggarkan 45 orang telah mengundi," katanya.

Beliau menjangka keputusan dapat diketahui pada jam 11 malam ini.

Sehingga ini, katanya, proses pengundian di situ berjalan lancar.

Sementara itu di Pokok Sena , Kedah walaupun proses pemilihan MPP di cabang berkenaan berjalan lancar, tetapi ia kurang mendapat sambutan daripada ahli.

Selepas pusat pengundian ditutup, hanya 24 daripada 314 ahli yang layak, datang mengundi di pejabat ketua cabang di Derga, Alor Setar.

"Pemilihan di peringkat MPP tidak seghairah pemilihan di peringkat cabang baru-baru ini. Pada masa itu ramai ahli datang.

"Mungkin pengundian sebanyak dua kali iaitu memilih pemimpin cabang dan kini MPP pula, menyebabkan kurang sambutan ahli," kata ketua pengawas Mat Nor Zainuddin.

Menurutnya, pengundian di telah ditutup dan kini pihaknya sedang mengira kertas undi.

Keputusan rasmi akan diketahui kira-kira jam 7 malam ini, tambahnya.