PKR: Pengundian di Pasir Mas ditunda
Proses pengundian dalam pemilihan pucuk pimpinan PKR di cabang Pasir Mas, Kelantan ditunda ke minggu hadapan berikutan penduduk membantah ianya dijalankan di sebuah surau di situ.
Mereka membantah kerana surau merupakan tempat awam dan tidak sesuai untuk digunakan untuk tujuan kepartian.
Berikutan itu, ketua cabang tersebut, Che Zenab Che Amat berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mencari tempat yang sesuai bagi mengadakan pemilihan tersebut.
"Kita telah maklumkan kepada pihak ibupejabat minggu lepas mengenai perkara ini.
"Tarikh baru untuk mengadakan pengundian tersebut ditetapkan pada 6 November depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Che Zenab berkata, pada mulanya, jawatankuasa PKR cabang Pasir Mas memilih untuk mengadakan pengundian itu di surau berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, penduduk di sekitar kawasan itu membantah ianya dijalankan di surau tersebut.
Katanya, sejumlah 491 ahli layak mengundi di cabang tersebut.
"Ibupejabat bersetuju pengundian ditunda. Malah, tarikh baru itu pun ditetapkan oleh ibupejabat. Cuma kita diminta mencari tempat baru yang sesuai," tambahnya.

