Hormati Ku Li, kaunter munajat di Galas dibatal
Sekretariat Tabung Misi Munajat Royalti Rakyat membatalkan hasratnya untuk membuka kaunter jualan kupon penajaan rakyat sempena pilihan raya kecil DUN Galas 'sebagai menghormati Tengku Razaleigh Hamzah'.
Pengarah sekretariat itu, Md Zulaimi Kazin berkata ia kerana Tengku Razaleigh yang menyokong pemberian royalti minyak kepada Kelantan adalah pengarah pilihan raya kecil BN di Galas.
"Kita tidak mahu jadi isu. Jadi kita buat keputusan tidak membuka kaunter di Galas seperti yang dicadangkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini
hari ini.
Di samping itu, tambahnya, 40 tok guru dan ulama yang bersetuju menyertai munajat itu juga 'keberatan' dengan cadangan sekretariat itu untuk mengutip penajaan pemergian mereka ke Mekah, awal tahun depan.
Sekretariat itu sedang berusaha untuk mengumpulkan RM400,000 untuk membawa 40 ulama serta tok guru pondok dari pelusuk negeri ke Mekah berhubung isu kes tuntutan royalti minyak daripada Petronas.
Pada mulanya, ia bercadang membuka kaunter tersebut di Galas mulai 31 Oktober lalu di mana Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijadual melancarkan misi tersebut bagi peringkat negeri.
Bagaimanapun, kata Md Zulaimi, majlis pelancaran itu telah ditangguhkan kepada 6 November ini. Ia akan diadakan secara tertutup di Kompleks MADU di Machang.,
Mengenai kutipan setakat ini, beliau berkata, ia 'agak perlahan' mungkin disebabkan oleh musim pilihan raya kecil di Galas.
Bagaimanapun, beliau menjangka kutipan bagi tabung tersebut akan bertambah selepas pilihan raya kecil tersebut kerana semua wakil sekretariat itu akan bergerak ke seluruh Malaysia untuk tujuan tersebut.
Ditanya mengenai kutipan setakat aitu, Md Zulaimi berkata, ia belum mencecahkan RM100,000.
Di samping itu, katanya, ada beberapa syarikat korporat telah membuat sumbangan kepada sekretariat tersebut.

