Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menganggarkan peratusan keluar mengundi dalam pemilihan parti itu semalam bertambah sehingga tiga peratus berbanding minggu pertama yang hanya sembilan peratus.

Ini kerana, katanya, jumlah keluar mengundi semalam sebanyak - 10 hingga 12 peratus - lebih memberangsangkan berbanding minggu lalu.

Bagaimanapun beliau yang juga ahli parlimen Machang sedang membuat menelitinya dan hanya akan mengumumkan laporan lanjut  selepas itu.

NONE "Saya akan memberi lebih terperinci (dalam sidang media) esok," katanya ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Minggu lalu, Saifuddin menjelaskan, peratusan keluar mengundi daripada 68 cabang yang mengadakan pemilihan agak rendah, antaranya disebabkan demam perlawanan akhir piala Malaysia melibatkan Kelantan dan Negeri Sembilan.

Sehingga semalam sebanyak 78 cabang telah mengadakan pemilihan yang menyaksikan naib presiden Azmin Ali terus melebarkan jurang persaingan meninggalkan jauh dua pesaingnya.

Semakan Malaysiakini kesemua cabang tersebut, Naib Presiden Azmin Ali terus menjarakkan kedudukan dengan dua pencabarnya bagi jawatan timbalan presiden dengan majoriti - tak rasmi - 1,619 undi.

Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa memperolehi mendapat 5,027 undi seterusnya mengungguli sejak minggu pertama pemilihan berlangsung.

Pencabar terdekatnya Penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 3,408 manakala Naib Presiden Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,197 undi.