Timbalan Presiden PKR Syed Husin Ali berkata sekiranya beliau mempertahankan jawatannya pun, kekecohan dalam pemilihan parti mungkin berlaku seandainya "pelakon utamanya" serupa.

NONE "Ada kawan-kawan berkata inilah sebenarnya punca kekecohan yang berlaku dalam pemilihan parti.

"Saya percaya jikalau saya pertahan jawatan pun, kekecohan mungkin berlaku juga seandai pelakon utamanya serupa," katanya.

Dr Syed Husin menjelaskan, keputusannya tidak mempertahankan jawatan dibuat adalah pilihan sendiri.

"Ini hasil pilihan saya sendiri. Saya telah membuat keputusan untuk mengundurkan diri dari jawatan timbalan presiden. Bukan ketua umum, bukan Azmin Ali," katanya sewaktu menyampaikan ucapan perasmian bagi Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR (AMK).

Dalam ucapannya, beliau berasa gembira berbaur sedih kerana menyampaikan kerana ini ialah kali terakhir beliau berucap untuk merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda.

Dalam ucapannya juga, beliau juga turut menegur sayap-sayap parti - Wanita dan Angkatan Muda Keadilan - walaupun sebelum pernah berbuat demikian sebelum ini.

Katanya, Wanita kelihatan "lebih mantap susunannya dan lebih baik disiplinnya dari AMK tetapi kelihatan jua Wanita tidak begitu inklusif."

"Pimpinan Wanita tidak begitu mencerminkan komposisi keanggotaan wanita dalam parti, dari segi kaum dan latar belakang organisasi asal mereka.

"Kini Wanita mempunyai hubungan rapat dengan sebuah NGO. Saya harap NGO ini dapat memperkuatkan Wanita dan bukan sebaliknya," katanya.

Dr Syed Husin berkata "susunan AMK masih lemah dan longgar" kerana banyak AMK di cabang-cabang tertentu kurang bermaya dan hampir tidak bergerak".

"Kelihatan unsur berpuak-puak yang lebih buruk dari dalam Wanita. Unsur ini kena ditangani dengan selalu berbincang serta bermesyuarat," katanya.