Masalah kepemimpinan PKR Perlis yang memuncak kini berakhir apabila naib presiden parti itu Datuk Dr Mansor Othman dilantik bagi memangku jawatan pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat tergempar PKR Perlis pada malam semalam, kata ketua AMK negeri Tengku Putra Aelmisham Tengku Amiruddin.

tengku putra aelmi sham tengku amiruddin Mansor yang juga timbalan ketua menteri, Pulau Pinang, dilantik dengan sokongan sebulat suara oleh kira-kira 20 anggota jawatankuasa dari tiga ketiga-tiga cabang – Padang Besar, Kangar dan Arau – yang hadir malam tadi.

"Perlantikan itu bersifat sementara bagi menghadapi pilihan raya umum yang ke-13 akan datang, sehingga tokoh PKR negeri dilantik menerajui parti itu," kata Tengku Putra Aelmisham ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Beliau yang juga ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Arau juga mengakui bahawa pelantikan itu "lebih kepada arahan pusat" yang berkuatkuasa serta merta.

Tengku Putra Aelmisham juga berkata, pelantikan Mansor itu dibuat bagi menggantikan pengerusi terdahulu, Johari Shafie yang didakwa "tidak berfungsi" di jawatan berkenaan sebelum ini,

Dakwaan itu adalah berdasarkan rungutan di peringkat akar umbi di ketiga-tiga cabang berkenaan, kata Aelmisham lagi.

Sebelum ini, AMK Perlis turut mendesak pucuk pimpinan parti supaya Johari ditukar demi memulihkan "imej dan maruah" PKR negeri bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tengku Putra Aelmisham berkata Dr Mansor turut hadir dan mempengerusikan mesyuarat tergempar itu yang berlangsung selama dua jam bermula 9 malam semalam

Mengulas lanjut, beliau berkata PKR negeri juga mempunyai dua lagi calon untuk dilantik menerajui ke jawatan berkenaan

Bagaimanapu, beliau enggan mendedahkan identiti tokoh tersebut dan akan membincangkannya dalam mesyuarat pimpinan negeri akan datang.

"Namanya dirahsiakan kerana kita mahu mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga cabang terlebih dahulu," katanya.

Tengku Putra Aelmisham juga memberitahu, Senator Mustafa Kamal Mohd Yusoff menggantikan Ab Gani Ismail sebagai timbalan pengerusi PKR negeri dalam mesyuarat malam tadi.

Sebelum inil, Johari dilaporkan telah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi perhubungan PKR negeri.

Laporan berkenaan bagaimanapun dinafikan oleh Johari yang menjelaskan bahawa beliau masih memegang jawatan berkenaan.