Pemuda Pakatan Rakyat menyambut baik cadangan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

NONE Sehubungan itu, Pemuda Pakatan akan bermesyuarat Isnin depan, antaranya untuk mempertimbangkan cadangan mengadakan perhimpunan besar membantah gaya politik itu.

“Kita berharap akan ada satu konsensus yang tegas dan jelas mengenai isu ini beserta tindakan selanjutnya bagi memerangi politik jahat, fitnah dan jijik ini,” kata timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat dalam satu mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat malam kelmarin, yang dipengerusikan oleh ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

Mesyuarat susulan Isnin depan akan diadakan di Shah Alam.

Khairul Anuar mengulas cadangan Dr Mohd Asri yang juga tokoh akademik Universiti Sains Malaysia (USM) dalam blognya hujung minggu lalu.

NONE Dalam tulisannya, Dr Mohd Asri menggesa semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini.

Bahkan, tegas bekas mufti Perlis itu, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Khairul Anuar berkata mesyuarat minggu depan akan turut disertai wakil NGO dan individu yang membantah tayangan video seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, urusan menjemput NGO dan individu berkenaan telah ditugaskan kepada Dewan Pemuda PAS.

Beliau berharap Pemuda Pakatan dapat menarik sebanyak mungkin NGO dan individu menghadiri mesyuarat tersebut, termasuk menjemput Dr Mohd Asri.