15 pohon bantuan unit selamat Akidah S'gor
Exco hal ehwal agama Islam Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata setakat ini bilangan umat Islam yang memohon bantuan daripada Unit Selamat Akidah (USA) adalah melebihi 15 orang.
USA adalah satu pusat khidmat yang bertujuan menerima aduan dan permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada masyarakat Islam khasnya berhubung dengan persoalan kristianisasi yang telah menarik perhatian umum di negeri itu.
"(Bilangan) yang ada sekarang, (mereka) yang datang, yang betul-betul berkaitan dengan dakyah kristian, mereka (yang) dibiayai Kristian, atau akan dibiayai atau telah dibiayai, atau terus dibiayai dan mereka pun mahu melepaskan diri mereka daripada cengkaman itu, rasanya bilangannya melebihi 15 orang.
"Jadi kita sedang melihat perkara ini," katanya dalam satu sidang media di kediamannya hari ini.
Hasan dilapor berkata, unit itu ditubuhkan memandangkan "masalah yang dihadapi oleh orang Islam di Selangor susulan timbul ekoran kontroversi yang tercetus daripada serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas gereja Damansara Utama Methodist Church (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Hasan berkata penubuhan unit itu "tidak mengambil alih tugas" Lembaga Zakat, sebaliknya memberi perkhidmatan dan perhatian segera kepada umat Islam yang meminta bantuan dengan campurtangannya.
"Untuk pengetahuan saudara, ada satu kes, di mana sebelah pagi kita hantar (borang), sebelah petangnya, Lembaga Zakat telah pergi menemui orang yang memerlukan bantuan (itu).
"Dan mereka juga telah mengeluarkan bantuan. Maknanya, dalam sehari (sahaja), bantuan itu telah dikeluarkan," katanya.
Hasan mendakwa sebelum ini beliau ada "dengar-dengar cerita" terdapat kes yang tidak ambil tindakan langsung atau ada yang dilupakan langsung.
Beliau juga berharap hubungan baik antara pihaknya dan Lembaga Zakat terus berkekalan dan unit tersebut kini dikendalikan oleh tiga orang pegawai.

