Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memohon maaf selepas didakwa memburukkan negeri Johor, membuktikan beliau telah melakukan kesilapan.

Bercakap dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, Najib berkata pihaknya mempunyai rakaman berhubung dakwaan tersebut dan menegaskan "amat sukar" bagi Lim menafikannya.

"Kalau dia boleh nafikan, saya percaya beliau tidak akan meminta maaf.

"Dia dah minta maaf bererti bahawa itu satu pengakuan bahawa dia telah terlajak dari segi kata dan dia telah tarik balik kenyataan dia," kata Najib.

Najib berkata banyak pihak mendesak Lim memohon maaf termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin menyebabkan setiausaha agung DAP mengakui kesilapannya.

Pada 12 Ogos lalu, Lim didakwa memburukkan negeri itu dalam pertemuan dengan wartawan asing di Singapura, dan rakaman audio yang dikatakan beliau memburukkan Johor, telah disiarkan dalam Buletin Utama TV3.

Lim dilaporkan berkata rakyat Singapura menghadapi kemungkinan diculik apabila mereka pergi ke Johor.

Ditanya berhubung tindakan Lim melarang wartawan TV3 membuat liputan dalam sidang akhbarnya semalam, Najib berkata:

"Dia pilih, ada media yang dibenarkan, ada media yang tidak dibenarkan, tetapi Umno benarkan semua hadir termasuk media yang banyak memuatkan berita yang tidak berapa memihak kepada Umno dalam bilik ini," katanya sambil disambut ketawa hadirin.