Injunksi mahkamah telah diserahkan kepada pihak pengurusan Koperasi Permodalan Felda (KPF) bagi menghalang mereka daripada membincangkan apa-apa perkara yang membabitkan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings di Bursa Malaysia pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) esok.

NONE Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman berkata perintah mahkamah itu juga menghalang koperasi berkenaan daripada membincangkan perlepasan ekuiti dalam Felda Holdings atau mana-mana anak syarikat KPF pada EGM tersebut.

Injuksi berkenaan diserahkan kepada Pengurus Pentadbiran dan Operasi KPF Ahmad Tarmizi di ibu pejabat koperasi itu di Jalan Semarak, Kuala Lumpur semalam.

"Jika mereka teruskan dan membincangkan perkara berkenaan, maka ini bererti bahawa mereka akan menghina mahkamah," kata Mazlan ketika dihubungi Malaysiakini .

Tindakan terbaru itu menyaksikan usaha kerajaan untuk mengapungkan saham Felda Global Ventures Holdings di pasaran saham menjadi tidak menentu.

Ahli-ahli KPF dianggotai oleh peneroka Felda. Koperasi itu ditubuhkan pada tahun 1980 dengan objektif menyediakan peneroka dengan saham ekuiti di Felda dan anak-anak syarikatnya.

Minggu lalu, 120 peneroka menyerahkan memorandum kepada lembaga pengarah KPF yang menuntut supaya EGM berasingan diadakan bagi membincangkan perkara berkenaan.

Mereka melahirkan kebimbangan bahawa pemindahan aset KPF kepada FGVH akan merugikan pekebun kecil.

[Baca berita penuh]