Dompok: Laporan RCI Sabah ditokok tambah
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Dompok berkata bahawa laporan yang mendakwa sebuah Suruhanjaya Diraja akan ditubuhkan bagi menyiasat bagi menyiasat tuduhan bahawa ramai pendatang asing diberikan kerakyatan bagi membolehkan mereka mengundi di Sabah telah ditokok tambah.
Ditanya mengenai beberapa laporan
Bernama
berhubung kes itu yang juga dikenali sebagai “Projek IC’, menteri itu berkata terlalu banyak "anggapan dan andaian" yang dibuat.
"Saya cuma kata kabinet membuat keputusan. Tiga sudu gula ditambah (dalam laporan itu) apabila saya hanya masukkan setengah sudu gula.
"Kami serahkan kepada PM," katanya selepas melancarkan label Kebanggaan Malaysia di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Presiden Upko juga berkata bahawa beliau tidak kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menolak dakwaan kononnya kerajaan telah meluluskan penubuhan suruhanjaya itu tetapi sekadar berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penubuhannya.
Dompok mengulangi kenyataannya bahawa jemaah menteri telah membuat keputusan, tetapi enggan mendedahkan apa yang dimaksudkannya itu.
"Tidak, saya agak puas hati dengan apa yang diputuskan oleh kabinet. PM akan umumkan apa yang diputuskan oleh kabinet pada masa yang dipilihnya sendiri dan saya tidak boleh beritahu apa-apa lagi," katanya.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata Najib sepatutnya membuat pengumuman berkenaan di Sabah tetapi mendakwa media di negeri itu tidak mengemukakan soalan berkenaan kepada perdana menteri.
Penubuhan suruhanjaya itu adalah antara cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini dalam laporan awalnya.
PSC semasa inkuiri awam yang dijalankan di Sabah pada November lalu menerima banyak aduan berhubung Projek IC.
Projek IC didakwa dijalankan sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Projek operasi rahsia dan bersepadu itu bertujuan memberikan kad pengenalan kepada rakyat asing dengan niat untuk mengubah demografi Sabah supaya penduduknya menyokong Umno.

