BERITA

Arahan rekod kecenderungan politik guru ditarik balik

Aidila Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 9 Mac 2012, 12:21 tengahari

Pejabat Pendidikan Tawau hari ini menarik balik arahan yang dikeluarkan kepada guru besar supaya merekodkan kecenderungan politik kakitangan mereka.

Arahan asal yang meminta guru besar mengkategorikan kakitangan mereka, termasuk guru, sebagai 'hitam', 'kelabu' dan 'putih' mengikut kecenderungan politik masing-masing, adalah satu "kesilapan", kata pegawai pendidikan daerah, Darman Shah Asakil kepada Malaysiakini hari ini.

Darman Shah berkata arahan itu adalah inisiatif Pejabat Pendidikan Tawau dan tiada kaitan dengan Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pelajaran Sabah dalam apa jua cara.

"Ia adalah satu kesilapan dan surat itu tidak sepatutnya dihantar. Ia ditulis oleh kakitangan saya dan saya tidak semak betul-betul.

"Hasrat kami adalah semata-mata untuk menasihat guru-guru supaya memberi tumpuan kepada pengajaran dan tidak terlibat dalam politik," katanya.

Jabatannya, tambah Darman Shah, telah mengeluarkan surat pekeliling kepada semua guru besar memaklumkan kepada mereka tentang penarikan balik arahan asal itu.

Awal hari ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Puad Zarkashi memberitahu Malaysiakini tiada arahan seumpama itu dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.