Tidak seperti Universiti Malaya (UM) yang membubarkan majlis perwakilan mahasiswa dan menubuhkan badan sementara, tugas anggota Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (MPMUKM) dilanjutkan.

Tugas anggota MPMUKM yang tamat sejak 5 Mac lalu, dilanjutkan sehingga berakhirnya semester pengajian yang dijadual Jun ini.

Keputusan itu dicapai dalam pertemuan Presiden Ahmad Muzammil Mohd Amin dan setiausahanya Izwan Saat dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (HEPA), Prof Othman Karim.

Perbincangan yang diadakan di pejabat tokoh akademik itu berlangsung selama satu jam setengah bermula jam 3 petang semalam.

"Majlis perwakilan kami tidak dibubarkan lagi. Tugas kami dilanjutkan sehingga tarikh yang akan ditentukan kelak," kata Ahmad Muzammil ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya, melanjutkan tempoh dilihat lebih efisien memandangkan tempoh pengajian mereka hanya beberapa bulan sahaja sebelum mahasiswa berdepan dengan peperiksaan dan bercuti pada bulan Julai.

Sehubungan itu, satu pertemuan antaranya semua wakil anggota MPMUKM dengan Othman dalam masa terdekat bagi untuk mengumumkan penyambungan tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam pertemuan itu juga, Ahmad Muzammil berkata timbalan naib canselor itu memberitahunya bahawa pilihan raya di kampus itu akan berlangsung September depan, walaupun pengumuman secara rasmi belum dibuat lagi.

Dilaporkan selain UM, majlis perwakilan mahasiswa telah dibubarkan di beberapa kampus termasuk di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Semalam sekumpulan pelajar pro-Mahasiswa (pro-M) kesal dengan pentadbiran UM membentuk satu badan eksekutif untuk menggantikan majlis perwakilan mahasiswa kampus itu, tanpa perbincangan dengan pelajar.

Bahkan mereka menuntut pilihan raya kampus di seluruh negara diadakan lebih awal supaya pelantikan MPMUM dapat memudahkan urusan pelajar dengan pentadbiran. Peranan badan sementara mempunyai ruang lingkup yang kecil berbanding organisasi MPMUM.

Difahamkan, pilihan raya kampus di semua institut pengajian tinggi awam hanya akan diadakan September depan.