S'gor guna ketua kg, JKKK bersihkan daftar pemilih
Kerajaan negeri Selangor akan mengarahkan kakitangan kerajaan negeri seperti ketua kampung dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi membantu memastikan senarai daftar pemilih bersih dan teratur.
Program yang dikenali "Selangorku Bersih" akan dilancarkan sebagai cara kerajaan negeri membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan senarai daftar pemilih khususnya di negeri Selangor.
"Kerajaan Selangor percaya bahawa demokrasi harus mencerminkan kuasa rakyat dalam membuat pilihan adil dan bersih.
"Rakyat berhak mendapat sebuah kerajaan yang telus dan bertanggungjawab," kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira dua jam dengan SPR di Putrajaya hari ini.
Menurut Khalid, antara perkara yang dibincangkan dengan SPR termasuk isu isu pembersihan daftar pemilih di Selangor yang melibatkan rekod perpindahan kawasan tanpa pengetahuan pengundi.
"Kami memaklumkan kepada SPR bahawa kerajaan negeri memandang serius pergerakan dan pemindahan pengundi ke dalam Selangor dan mahu SPR mengambil langkah tertentu untuk membersihkan daftar pengundi,"katanya.
Turut menyertai rombongan berkenaan adalah semua barisan exco kerajaan negeri termasuk Speaker Datuk Teng Chang Khim.
Dalam sidang media itu, exco Selangor Teresa Kok turut membangkitkan pertambahan peratusan bilangan pengundi di beberapa kawasan DUN dan Parlimen di negeri Selangor.
Katanya di peringkat DUN, Batang Kali memperlihatkan peningkatan tinggi sebanyak 41 peratus daripada jumlah keseluruhannya 39,928 orang.
Manakala di Bukit Lanjan mencecah 34 peratus daripada jumlah keseluruhan 35,257 pengundi dan Paya Jaras sebanyak 31 peratus daripada jumlah keseluruhan sebanyaj 39,061 orang.

