NGO anti-penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) tidak pernah mengarahkan penyokongnya menggunakan nama dan gambar mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada poster sewaktu perhimpunan Oren Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Koordinator Gerakan Selamatkan Felda (GSF) Mazlan Aliman berkata pihaknya tidak pasti sekiranya ada individu lain yang berbuat demikian.
"Bagi pihak penganjur, tidak ada. Individu (lain), saya tidak tahu," katanya yang juga presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini.
Mazlan mengulas kenyataan Abdulah yang dilapor kecewa dengan tindakan kumpulan yang yang mengadakan perhimpunan 'Oren' menggunakan gambar beliau pada poster perhimpunan itu.
Sementara itu, Bernama hari ini melaporkan Abdullah kecewa dengan tindakan kumpulan yang mengadakan perhimpunan 'Oren' kerana menggunakan gambar beliau pada poster perhimpunan berkenaan.
Abdullah berkata tindakan kumpulan itu menjatuhkan dan memburukkan imejnya sebagai bekas perdana menteri.
"Saya rasa tidak seronok langsung bila mereka (penganjur perhimpunan oren) guna nama dan gambar saya dalam poster, sedangkan saya tiada kaitan langsung dengan perhimpunan itu.
"Sepatutnya mereka tidak boleh buat macam itu dan jangan ambil kesempatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kepala Batas hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kumpulan tertentu yang menggunakan gambar beliau dan tokoh veteran Umno yang juga Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, pada poster Himpunan Oren.
Himpunan Oren anjuran ANAK yang disertai 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai tanda bantahan terhadap penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
Abdullah yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas berkata beliau tidak pernah menentang penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.
"Saya sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia adalah sesuatu yang bagus," katanya.
