Sekumpulan rakyat Kelantan berkonvoi menggunakan kereta dan motosikal dari Kota Bharu ke Pasir Puteh petang semalam bagi mendesak kerajaan persekutuan menyerahkan royalti minyak dan gas kepada kerajaan negeri.

Pada asalnya, kumpulan yang menamakan diri mereka Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (ROYALTI) merancang berbuat demikian esok sempena lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke negeri itu.

return oil royalty convoy kelantan 3 Bagaimanapun, setiausaha ROYALTI Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, peserta kumpulan itu mempercepatkan rancangan mereka dua hari lebih awal atas "nasihat polis".

"Polis menghubungi kita, dan minta jasa baik supaya tidak buat (konvoi) pada hari perdana menteri datang untuk mengelak kekacauan.

"Jadi, kita ambil keputusan bagi mengelak kekacauan, kita awalkan sebelum Najib hadir," katanya ketika dihubungi Malaysiakini lewat petang semalam.

Katanya, berdasarkan rancangan, mereka mahu berkonvoi ke Pasir Puteh dengan melalui pekan Kota Bharu, Bachok dan Ketereh. Kesemua kawasan itu dikatakan akan dilawati Najib esok.

Khabar gembira dari Najib?

Bagaimanapun, tambah Hisyamuddin, bagi "mengelak kekacauan" mereka hanya berkonvoi dari Kota Bharu ke Pasir Puteh itu petang semalam.

Program bagi memberikan tekanan kepada pentadbiran Najib itu sudah tiga kali berlangsung di negeri pimpinan PAS itu.

return oil royalty convoy kelantan 1 Sebelum ini, ROYALTI berkonvoi menggunakan laluan Kota Bharu-Kuala Krai-Gua Musang sejauh 184km dan laluan Kota Bharu-Rantau Panjang sejauh 60km di mana seramai 500 peserta terlibat.

ROYALTI menuntut kerajaan persekutuan menyerahkan royalti minyak dan gas Kelantan yang didakwa tertunggak sebanyak RM7 bilion sejak 2005.

Kedatangan Najib ke Kelantan dipercayai berkaitan janji BN negeri untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin sebelum pilihan raya umum ke-13.

Malah, Hisyamuddin mendakwa sudah wujudnya cakap-cakap di kalangan rakyat di negeri itu bahawa kehadiran Najib esok bakal membawa khabar gembira.