Pengkaji ekonomi Rating Agency Malaysia Yeah Kim Leang yakin pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh menampung kehilangan RM8 bilion hasil duit eksais yang ingin dihapuskan PKR.
Katanya, GST pada kadar 4 peratus akan dapat memungut hasil antara RM8 bilion hingga RM9 bilion kepada kerajaan.
"Mereka perlu mengimbangi kerugian hasil daripada industri kereta," kata Yeah ketika dihubungi hari ini.
Katanya, GST merupakan cara yang lebih efisien berbanding cukai pendapatan dan cukai jualan, yang tidak dapat menutup jurang tersebut.
Cukai jualan akan meningkat apabila harga kereta diturunkan, namun ia tidak cukup untuk mengimbangi kerugian daripada hasil duti eksais, katanya.
Penjimatan RM8 bilion itu hanya akan menguntungkan pembeli kereta melalui penjiimatan tidak langsung, dan bukannya pengguna lain, katanya.
Menurut ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, penghapusan cukai eksais kereta akan meletakkan jumlah RM8 bilion itu kembali ke dalam pasaran domestik dan seterusnya menjana aktiviti ekonomi serta meningkatkan cukai pendapatan dan cukai jualan.
Bagaimanapun, Anwar mengakui bahawa langkah itu hanya akan menghasilkan cukai antara Rm1 bilion hingga RM1.5 bilion setahun.
Ketika menjelaskan cadangan dasar itu minggu lalu, Anwar berkata kerugian hasil hanya akan dikurangkan secara berperingkat melalui sistem bidaan permit import (AP).
Anwar menjangkakan langkah itu akan menghasilkan tambahan hasil sebanyak RM3 bilion setahun sehinggalah AP dihapuskan pada 2015.
