Mahkamah Rayuan mendapati peraturan disiplin Universiti Malaysia Perlis (Unimap) kepada mahasiswanya sebagai ultra vires (melebihi kuasa yang ditetapkan undang-undang) terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan panel yang diketuai Hakim Abang Iskandar Abang Hashim juga membatalkan penggantungan 66 hari dan denda RM100 terhadap mahasiswanya Mohd Izuwan Zaini yang memohon semakan kehakiman.

NONE Mohd Izuwan ( kanan ) juga mendapat gantirugi kos sebanyak RM5,000.

Tindakan itu diambil terhadap mahasiswa kejuruteraan mekanikal itu ekoran penglibatannya dalam kumpulan mahasiswa Watch 13 April lalu.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Mohd Izuwan berkata Watch 13 merupakan kempen politik untuk menggalakkan orang ramai mengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Mohd Izuwan berkata, beliau menfailkan semakan kehakiman terhadap Unimap kerana berasa tidak diberi peluang membela diri semasa pendengaran jawatankuasa disiplin universiti.

Beliau mendakwa tidak dibenarkan membawa saksi atau mempersoalkan soalan Unimap. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS berkata, pihaknya menyambut baik keputusan itu kerana ia memberikan kesan besar terhadap aktivisme mahasiswa.

Justeru, dalam kenyataannya hari ini, Juham menegaskan, mahasiswa tidak perlu bimbang lagi untuk melibatkan diri dalam aktivisme yang selama ini didakwa sering menjadi mangsa tindakan tatatertib universiti.

"Keputusan ini juga memberikan mesej yang jelas bahawa mahasiswa tidak patut dikongkong kebebasan mereka untuk menyuarakan pendapat dan untuk berpersatuan kerana hak-hak tersebut dijamin sepenuhnya bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara," menurut Juham lagi.