Ibrahim Ali: Mkini perbesar isu 'ang pau putih'
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) hari ini menyalahkan portal berita Malaysiakini yang didakwanya memperbesar-besarkan isu pemberian ang pau putih kepada masyarakat Cina dalam sambutan Tahun Baru Cina awal tahun ini.
Presiden PERKASA itu tetap menyalahkan Malaysiakini , walaupun mengakui bahawa ia sememangnya berpunca daripada kesilapan pihaknya yang "tidak disengajakan".
Dakwanya, PERKASA "betul-betul ikhlas" dalam mengadakan sambutan tersebut untuk membuktikan bahawa NGO pendesak Melayu itu tidak bersikap perkauman.
"Kita sayang kepada semua rakyat Malaysia. Cuma kita bersuara berpandukan perlembagaan. Ada tersilap kerana kes sampul surat. Saya ingat dulu, yang tidak disengajakan, tetapi dibesarkan.
"Siapa yang besarkan? Yang besarkan ialah Malaysiakini . Siapa Malaysiakini ? Barua yang menerima dana daripada luar negara.
"Jadi kalau inilah pengkhianat, yang tidak mampu kita ambil tindakan, bagaimana nasib negara pada masa akan datang," katanya dalam satu sidang perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Membahaskan bajet 2013, Ibrahim menganggap pihak yang didakwanya menerima dana luar sebagai "tali barut asing yang tidak ada semangat patriotik dan kenegaraan" dan boleh menganggu-gugat keselamatan negara.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu akta yang berkaitan penerimaan dana asing sepertimana yang dilakukan oleh Amerika Syarikat.
Saran k'jaan sedia untuk NGO
Katanya, akta tersebut bertujuan bagi mensyaratkan mana-mana NGO mengisytiharkan maklumat penerimaan dana asing kepada kerajaan.
"Memandangkan perkembangan semasa, (bimbang) campurtangan asing dalam sesetengah negara, termasuk negara kita, saya mencadangkan kerajaan mewujudkan satu akta yang berkaitan penerimaan dana asing.
"Di mana akta ini, diwajibkan kepada NGO bila menerima dana, sama ada dalam atau luar negari, dia mesti rekod dan daftar kepada pendaftar pertubuhan," katanya.
Ibrahim juga mencadangkan supaya kerajaan memberi peruntukan secara rasmi kepada NGO dalam belanjawan setiap tahun, walaupun mengakui tiada peruntukan bajet tahun ini tetapi diberikan secara 'ad hoc' kepada NGO tertentu sebelum ini.
Menurutnya, dana yang diberikan itu bertujuan untuk mengelak daripada penerimaan dana asing sepertimana timbulnya isu terhadap Suara Inisiatif dan Suaram baru-baru ini.
"Saya cadangkan setiap NGO diberi dana setiap tahun berdasarkan kepada jumlah keahlian... Sebelum diberikan, NGO ini mesti diaudit, ahlinya mesti betul dengan jumlah yang diisytiharkan, akaunnya diaudit berkala.
"Ada auditor dalaman dalam pendaftar pertubuhan, yang pergi periksa on the spot. Jangan tunggu laporan polis, tunggu timbul isu baru nak siasat," katanya.

