Pakatan rancang himpunan besar tuntut p'raya bersih
Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata Pakatan Rakyat bersetuju untuk mengadakan satu perhimpunan besar pada 3 November sebagai desakan untuk pilihan raya bersih dan adil.
Mohamad berkata, dua fokus utama dalam perhimpunan di Stadium Bukit Jalil itu adalah tuntutan mengenai akses media dan juga membersihkan daftar pemilih yang didakwanya meragukan.
Katanya, dua desakan berkenaan – yang merupakan antara lapan tuntutan asal oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil – masih "tidak dihiraukan" kerajaan.
Mohamad bagaimanapun berkata, perhimpunan dengan penglibatan parti dalam Pakatan Rakyat itu berkenaan bukan kesinambungan kepada perhimpunan BERSIH 3.0 yang dijalankan pada 28 April lalu.
"Penglibatannya adalah parti dalam Pakatan Rakyat, NGO dan rakyat Malaysia yang lain untuk menuntut terus dan menyambung tuntutan BERSIH supaya kita mahu pilihan raya bersih dan telus," katanya dalam sidang media di parlimen pagi ini.
Mohamad yang juga pengerusi demokrasi dan mobilisasi PAS berkata, pihaknya juga turut menjemput NGO termasuk anggota gabungan untuk hadir bersama menyokong perhimpunan itu.

