Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri memohon perkenan Sultan Selangor ke atas cadangan untuk membentangkan kaedah kutipan hutang daripada Talam Corporation dalam satu sidang khas DUN.

Katanya, kerajaan juga memohon perkenan baginda untuk membentangkan hasil pelaksanaan kempen "Selangorku Bersih" dan isu penyusunan semula industri perkhidmatan air dalam sidang khas itu.

NONE Khalid berkata Sultan Selangor bagaimanapun masih belum memberi kata putus ke atas cadangan yang dikemukakan dalam satu pertemuan pagi ini.

Sekiranya hasrat tersebut mendapat perkenan Tuanku Sultan, beliau menjangkakan sidang khas ini akan diadakan pada dua hingga tiga minggu akan datang, katanya.

"Sidang khas berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri membentangkan ketiga-tiga isu secara lebih terperinci di samping memberi peluang kepada rakyat Selangor mendapat maklumat tentang isu ini dengan jelas dan tepat," katanya.

Menurutnya kertas putih berhubung kaedah terperinci kerajaan negeri mengutip hutang Talam berjumlah RM392 juta telah disiapkan dan mesyuarat kerajaan negeri telah meluluskannya.

Katanya, kertas putih tersebut akan diserahkan kepada pejabat DUN pada Isnin depan.

'Bentang semua surat'

Dalam sidang khas itu, kerajaan negeri akan membentangkan semua surat menyurat antara kerajaan negeri dan persekutuan berhubung langkah penyusunan semula industri air yang dijalankan.

Dokumen sejak tahun 2008 itu akan dibentangkan sebagai bukti komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan penyusunan semula itu.

Dalam pembentangan berhubung kempen Selangorku Bersih pula, kerajaan mengeri akan membangkitkan mengenai sejumlah 110,000 nama pengundi yang didakwanya diragui dan gagal dikesan sehingga kini.

"Nama-nama ini didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita akan bentangkan dalam sidang khas ini usaha yang dilakukan untuk mengenal pasti nama yang meragukan ini dengan penglibatan secara langsung ketua komuniti kawasan berkenaan," katanya.

Khalid juga menggesa ADUN kerajaan dan pembangkang memberi cadangan untuk mengatasi masalah itu.