Malaysiakini BERITA

Gaji CEO Tabung Haji tak dibayar sembarangan, kata menteri

Abdul Rahim Sabri  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan beliau tidak menentukan gaji Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail yang didakwa mencecah RM85,000 sebulan.

NONE Jelasnya, bayaran gaji itu ditentukan oleh Lembaga Kenaikan Gaji dan Lembaga Keputusan badan itu berdasarkan kepada "janji perkhidmatan" yang diberikan.

"Tabung Haji (membayar) mengikut janji perkhidmatan yang diberikan. Dan kita membayar gaji berdasarkan kepada profesionalismenya, kepakarannya, dan kadar pasaran yang ada.

"Jadi bukan secara sebarangan atau (ada perkara yang hendak) disembunyikan. Tidak ada. Ia berdasarkan kepada jadual dan peraturan yang termaktub di Tabung Haji," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu, MP Pokok Sena Datuk Mahfuz membangkitkan kebimbangan berhubung dakwaan gaji yang terlalu tinggi diterima oleh Ismee.  

NONE Beliau mendakwa pegawai tertinggi itu dibayar RM85,000 sebulan - meningkat daripada RM70,000 sebulan tahun lalu - dan menerima bonus sejumlah RM700,000 tahun lepas, selain ganjaran sebanyak RM490,000 apabila berakhirnya kontrak.

Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama itu hari ini berkata, beliau akan menjawab perkara itu di Dewan Rakyat.

Jamil berkata lembaga itu adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang mencatatkan keuntungan melebihi RM1 bilion sejak lima tahun berturut-turut.

Menurutnya, badan itu menguruskan hampir sejuta akaun jemaah haji, akaun pendeposit yang mencecah 7.8 juta orang serta mengurus dana tabung haji berjumlah RM34 bilion.

"Jadi kalau kita nak perkhidmatan yang terbaik, kepada agensi kita, jadi kita juga harus menilai kepakaran dan profesionalisme termasuk pasaran.

"Jadi kalau kita mengharapkan pengurusan yang begitu hebat dan efisien, tetapi kita tidak menilai dari sudut sumbangan mereka... Jadi maknanya, kena mengukurnya juga sepadan dengan pengurusan dan pentadbiran.