Pakatan Rakyat mengkritik pentadbiran kerajaan Malaysia yang didakwa "lemah" berhubung soal dasar negara luar bagi mengetuai ASEAN dalam menyelesaikan isu Rohingya di Burma.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Pakatan Rakyat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi mendakwa kerajaan Malaysia gagal mengemudi gabungan serantau itu ketika berdepan pergolakan serantau.

NONE "Itu tanda kelemahan... itu tanda kelemahan seolah-oleh kita hanyut dengan apa yang berlaku. Kita (Malaysia) tidak boleh mengemudi bila menghadapi arus pergolakan," kata Abdul Hadi ( gambar kiri, berserban ).

Beliau menjawab soalan pemberita sama ada dasar luar Malaysia lemah memandangkan sebelum ini negara dilihat terkehadapan dalam mengetuai ASEAN dalam menyelesaikan isu serantau.

Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak inisiatif ASEAN untuk menyelesaikan masalah penduduk Islam Rohingya.

"Kenapa Malaysia begitu lembab dan gagal menyuarakan (isu ini) sedangkan kita boleh menyuarakan isu Moro di selatan Filipina. Apa bezanya.

"Yang kita tekankan isu Rohingya ini adalah soal kemanusiaan, hentikan pembunuhan, pemusnahan tempat tinggal, dan kes jenayah yang dilakukan oleh kerajaan Burma atau dengan restu kerajaan Burma," kata Anwar.

Anwar: Bangsamoro isu lama

Bekas timbalan perdana menteri itu turut menegaskan isu Bangsamoro adalah isu lama dan tiga atau empat perjanjian telah ditandatangani untuk menyelesaikan masalah ini sebelum ini.

NONE "Pendirian kita ialah penyelesaian itu harus adil, bukan sahaja perjanjian tetapi juga pelaksanaannya kerana telah dilaksanakan perjanjian tiga empat dekad lalu.

"Jadi kita menyokong dan minta supaya kerajaan Filipina dan Asean terus memantau supaya dijamin keamanan dan keadilan di kawasan itu," tegas Anwar.

Perjanjian yang dimeterai baru-baru ini antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) adalah inisiatif presiden negara itu, Benigno Aquino, tambah Anwar.

Mengulas laporan bahawa kerajaan Burma menghalang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) membuka pejabatnya negara itu, Abdul Hadi berharap Malaysia dapat memainkan "peranan proaktif" memandangkan negara ini merupakan negara anggota OIC dan ASEAN.