Pakatan Rakyat hari ini menegaskan "tiada apa-apa kekeliruan" timbul dalam pendirian gabungan parti itu ke atas pembangunan Projek Pemprosesan Minyak dan Gas (RAPID) yang bakal dibina di Pengerang, Johor.

Pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata gabungan itu pada asasnya tidak menolak program pembangunan seperti projek tersebut namun membantah pelaksanan projek tersebut yang bercanggah dengan prinsip Pakatan.

pengerang himpunan hijau 300912 pkr "(Ia) menjadi masalah kerana pelaksanaannya bercanggah dengan prinsip yang telah kita putuskan. Pertama, kawasan yang diambil alih (seperti) kampung tradisional, tanah perkuburan dan rakyat dihalau, sedangkan ada kawasan alternatif dikira wajar disediakan untuk maksud itu.

"Kedua, projek tambak laut diteruskan sebelum diambil tanah rakyat, maknanya terutama nelayan trasional Melayu menjadi mangsa dan mengalami kerugian yang besar," katanya.

Selain itu, Anwar juga berkata Pakatan "tidak yakin" dengan keputusan kajian impak alam sekitar (EIA) yang sepatutnya memerlukan rundingan teliti dengan penduduk yang terlibat.

"(Rundingan) ini tidak dilakukan. Jadi tertakluk semua ini, tentulah kita minta projek ini ditangguhkan untuk memenuhi keperluan yang kita sebutkan tadi," katanya.

 

pengerang himpunan hijau 300912 start marching 07 Kekeliruan itu timbul ekoran ucapan Pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng ketika Himpunan Hijau Pengerang pada 30 September lalu yang dilaporkan berkata, Pakatan untuk menghentikan projek Rapid sekiranya gabungan tiga parti itu mengambil alih Putrajaya.

Kenyataan itu berbeza dengan pendirian PAS seperti dinyatakan naib presidennya Salahuddin Ayub - yang mengakui kelebihan projek itu tetapi membantah tindakan pengambilan tanah di kampung tradisi masyarakat Pengerang.

Mengulas perkara itu, Anwar berkata kenyataan Chua itu bermaksud untuk menagguhkan projek tersebut.

Rapid yang melibatkan pelaburan RM60 bilion itu mempunyai kapasiti untuk menapis 300,000 tong minyak mentah import sehari dan akan menawarkan 4,000 peluang pekerjaan tetap.

Projek yang bakal dilaksanakan menjelang pertengahan 2013, iaitu selepas Petronas membuat keputusan terakhir pelaburan itu, juga akan memerlukan lebih kurang 40,000 pekerja kontrak untuk pembinaan.

VIDEO l 3.04 min