'Tiada undang-undang antidiskriminasi OKU'
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik menggesa semua pertubuhan Orang Kurang Upaya (OKU) supaya bangkit menuntut "hak kesaksamaan" seperti yang dinikmati kumpulan lain.
Katanya, pertubuhan OKU itu perlu bersama-sama mendesak, termasuk melobi di parlimen supaya polisi dan undang-undang untuk membolehkan OKU menikmati hak tersebut seperti yang dilaksanakan di negara barat.
"Di negara-negara Barat, mereka ada polisi dan undang-undang ini. Hak kesaksamaan ini seperti peluang untuk kerja, pendidikan, peluang muncul di media, peluang untuk bersuara dan yang paling penting ialah undang-undang antidiskriminasi terhadap OKU.
"Perlu ada undang-undang tersebut... Ini perlu perjuangkan bersama dengan orang lain. Contohnya, keluar berita di media cerita (yang) memfitnah OKU, kita boleh saman syarikat media itu.
"Ada syarikat yang tidak mahu mengambil OKU bekerja, walaupun kita mampu dan berkelayakan, kita saman syarikat tersebut. Kawasan perniagaan, dia (syarikat) halang kita jual tisu, kita saman syarikat tersebut," katanya.
Bercakap dalam forum bertajuk "Isu OKU, penjaja bebas dan zakat" di Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi, Dr Maszlee yang juga seorang moderator terkenal mendakwa, ketika ini undang-undang antidiskriminasi terhadap OKU "tidak ada".
"Jadi perkara ini yang kita perlu perjuangkan," katanya.
'Orang Kurang Sedar'
Mengakui dirinya sebelum ini tergolong dalam kumpulan "Orang Kurang Sedar" atau "Orang Kurang Peduli", tetapi selepas melanjutkan pelajaran ke United Kingdom, sikap beliau mengenai kumpulan itu berubah.
Ini kerana, katanya, hal tersebut berlaku selepas beliau melihat satu rancangan di televisyen yang memberi peluang kepada kumpulan berkenaan muncul dalam rancangan khas dalam media.
"Ada rancangan khas untuk kanak-kanak OKU. Saya rasa bila balik ke Malaysia, tidak ada. Saya ingat, bila sambutan Krismas, tiap-tiap hari ada saja rancangan dalam setengah jam mengenai orang kurang upaya.
"Anak saya bercakap, alangkah baiknya kalau orang buat program ini, (adalah) orang Islam, kerana dia mendapat pahala membantu orang yang memerlukan. Lalu hati saya tersentuh," katanya.
Turut hadir sebagai penalis dalam forum itu aktivis kumpulan pelobi Kempen OKU Bangkit Mohammad Faizal Che Yusof dan wakil Persatuan Kebajikan Pekerja Sendiri OKU Penglihatan Kuala Lumpur (PKB) Omar Ahmad.
Menegur sikap dan mentaliti masyarakat Malaysia yang memandang OKU ini sebagai "peminta sedekah, merempat dan menyusahkan orang lain", Dr Maszlee menegaskan perkara itu perlu diubah.
Kononnya negara Islam...
"Sedangkan mereka (rakyat) ini tidak nampak orang-orang (OKU) ini membawa rahmat, pahala dan melengkapkan kehidupan mereka dengan menyedarkan bahawa mereka diberikan nikmat oleh Allah. Maka mereka (OKU) kena bantu," katanya.
Dengan memberikan contoh Tokyo yang disifatkannya sebagai
"bandar raya Islam" kerana kepeduliannya dan mesra kota besar itu menyediakan jalan khas untuk orang yang cacat penglihatan.
"Kuala Lumpur nama sahaja... kononnya negara Islam, tetapi tidak Islamik langsung kerana tidak mesra kepada tuan-tuan dan puan-puan," katanya sambil diiringi tepukan dan sorakan kira-kira 50 OKU yang hadir di Dewan Rukun Tetangga di Brickfields malam tadi.
Ahli akademik dalam bidang pengajian Islam itu turut berpendapat zakat boleh disumbangkan kepada kumpulan OKU kerana mereka tergolong dalam kumpulan fisablillah (golongan berjihad di jalan Allah) - antara lapan asnaf yang layak menerima zakat.
"Masalahnya bila sebut pasal zakat, dia nampak individu... Jangan tengok OKU pada individu, tetapi tengok kepada institusi.
"Institusi nak jaga mereka, institusi nak ajar mereka, institusi nak membantu memudahkan kehidupan mereka. (Ada di kalangan mereka) nak berniaga atau bekerja...Jadi mereka perlukan dokongan, dana dan institusi," katanya.

